Kes rasuah lesen cari gali: 2 Adun Sabah, ahli perniagaan mengaku tidak bersalah

LocalPolitics
30 Jun 2025 • 12:06 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KOTA KINABALU - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Datuk Yusof Yacob didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan menerima rasuah masing-masing RM200,000 dan RM150,000.

Selain dua Adun terbabit, turut didakwa ahli perniagaan, Chieng Albert Tei Jiann, kerana memberi rasuah.

Ketiga-tiga mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga.

Andi Muhammad Suryady Bandy adalah Adun Tanjung Batu manakala Yusof Yacob pula adalah Adun Sindumin.

Yusof, 69, yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad didakwa atas satu pertuduhan menerima wang suapan RM200,000 daripada Tei sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di sebuah hotel, di sini pada 2 petang, 6 Mac 2023.

Andi Muhammad Suryady, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah didakwa menerima wang suapan RM150,000 daripada Tei sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di kediaman Adun itu di sini pada jam 11 malam, 12 Mei 2023.

Tei, 36, didakwa atas dua pertuduhan memberikan wang rasuah masing-masing kepada Yusof dan Andi Muhammad Suryadi di lokasi, masa dan tarikh yang sama, lapor Bernama. - 30 Jun, 2025