
Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad, tujuh tahun lepas.
Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, di akhir kes pendakwaan.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad manakala Zizie Izette pula dituduh bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama.
Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, dituduh menerima rasuah tersebut daripada ejen pelaburan melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015.
Bung Moktar dan Zizie Izette, akan membela diri bagi menjawab tiga pertuduhan rasuah itu bermula 23 September ini.
Bung Moktar, 64, bersut biru gelap dan Zizie Izette, 44, bersut hitam memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, dan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Rozina memaklumkan kepada mereka bahawa bagi tujuan membela diri, mereka mempunyai tiga pilihan iaitu sama ada memilih untuk berdiam diri; atau sama ada ingin memberi keterangan di dalam kandang tertuduh yang mana keterangan secara tidak bersumpah; atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.
Sementara itu, peguam M. Athimulan, yang mewakili Bung Moktar memberitahu mahkamah seramai lapan saksi termasuk anak guamnya, akan memberi keterangan manakala peguam Datuk K. Kumaraendran, mewakili Zizie Izette memaklumkan hanya dua saksi termasuk pelakon itu, akan memberi keterangan pada perbicaraan yang ditetapkan selama 14 hari bermula 23 September ini.
Rozina dalam penghakimannya berkata walaupun terdapat percanggahan antara rakaman percakapan dua saksi utama pendakwaan dengan keterangan lisan mereka di mahkamah terbuka, ia tidak memberi kesan terhadap pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh.
Mereka ialah saksi pendakwaan ke-24 (SP24), ejen Public Mutual Madhi Abdul Hamid dan saksi pendakwaan ke-25, perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar.
“Walau bagaimanapun, saya mengambil maklum percanggahan tersebut dan setelah meneliti keterangan SP24 dan SP25 secara keseluruhannya dengan berhati-hati, mahkamah menerima keterangan kedua-dua saksi itu yang dikemukakan di hadapan mahkamah ini.
“Setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan secara keseluruhan dan hujahan pendakwaan serta pembelaan, saya berpuas hati dan mendapati bahawa kesemua inti pati pertuduhan di bawah Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dipertuduhkan ke atas tertuduh pertama, Bung Moktar telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan pada tahap prima facie,” katanya.
Rozina berkata di dalam kes ini telah dibuktikan bahawa wang RM2.8 juta telah diperoleh melalui tertuduh kedua, Zizie Izette.
Beliau bekata sehubungan itu, anggapan di bawah Seksyen 50 Akta SPRM 2009 terpakai, dan Bung Moktar dianggap memperoleh suapan itu sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubungan hal ehwal prinsipalnya, dengan mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan RM150 juta, bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Ketika itu Bung Moktar merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra.
Sehubungan itu, katanya tertuduh pertama (Bung Moktar) dipanggil membela diri bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Bagi Zizie Izette, hakim itu berkata mahkamah berpuas hati bahawa kesemua intipati pertuduhan-pertuduhan di bawah Subseksyen 28 (1) (c) Akta SPRM yang dipertuduhkan ke atasnya telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan pada tahap prima facie.
“Justeru itu, tertuduh kedua juga dipanggil untuk membela diri bagi ketiga-tiga pertuduhan,” kata Rozina.
Sebelum mahkamah menetapkan tarikh untuk kedua-dua tertuduh membela diri, Rozina berkata mahkamah memberi keutamaan kepada kes itu dan perbicaraan akan ditetapkan bulan ini.
Bagaimanapun, Athimulan memaklumkan bahawa tarikh yang sesuai adalah pada Disember ini, berikutan Bung Moktar perlu menghadiri sidang Parlimen yang akan diadakan pada 3 Oktober dan 29 November ini dan Kumaraendran pula berkata pihaknya memerlukan masa untuk menyediakan pembelaan.
“Saya mempunyai anak guam lain yang berhadapan hukuman mati dan kes mereka telah ditetapkan untuk perbicaraannya sebelum ini. Terdapat juga kes lain yang telah tertangguh untuk satu tempoh yang lama. Kenapa kes Daruk Seri ini dianggap lebih penting daripada kes lain,” katanya.
Rozina bagaimanapun memohon mereka melihat tarikh-tarikh bersesuaian untuk ditetapkan dan selepas berbincang, mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 23 September.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How.
Prosiding pada Jumaat turut dihadiri pelakon Shaheizy Sam, yang juga adik kepada Zizie Izette serta beberapa penyokong suami isteri itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

