KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin gagal dalam permohonannya untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah yang dihadapinya daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas mendapati Shamsul Iskandar selaku pemohon tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Seksyen itu membenarkan kes jenayah dipindahkan dari mahkamah bawahan ke Mahkamah Tinggi, tetapi hanya atas alasan terhad seperti isu perundangan yang kompleks atau kepentingan keadilan.
“Tiada sebab untuk menyimpang daripada keputusan kes-kes terdahulu atau ‘judicial precedents’.
“Pemohon didapati tidak memenuhi syarat mengikut seksyen berkenaan maka, permohonan pemohon ditolak,” katanya.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan sementara bapa kepada tiga anak itu diwakili peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad.
Dalam permohonan yang difailkan pada 4 Februari lalu, pihak pembelaan Shamsul Iskandar berhujah bahawa kes berkenaan melibatkan persoalan perlembagaan dan isu perundangan yang kompleks, termasuk perkara berkaitan Perlembagaan Persekutuan.
Pembelaan turut menyatakan bahawa pemindahan kes tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak, sebaliknya akan memudahkan penentuan isu yang dibangkitkan dengan lebih teratur.
Pada 4 Disember 2025, dia didakwa atas dua pertuduhan, sebagai seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, bersetuju untuk menerima suapan sebanyak RM100,000 dan memperoleh RM40,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing.
Bagi dua lagi pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya selama dua penggal bermula 2013 itu didakwa menerima kelengkapan perabot dan barangan elektrik masing-masing RM14,580.03 dan RM22,249.
Ia sebagai dorongan membantu syarikat-syarikat Jiann Cheing, mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, sedangkan perbuatan itu tiada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.
Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 5 Disember 2025, dia turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik individu lain, bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya Kuala Lumpur daripada Tei.
Suapan itu sebagai dorongan bagi membantu syarikat yang mempunyai kepentingan kepada Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


