
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan tempoh sehingga 29 Okt ini sebagai pengurusan kes bagi mengetahui status mediasi berhubung tuntutan 291 keluarga peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan (PAKS) Rantau Manis, Gua Musang terhadap Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menetapkan tarikh itu selepas sesi mediasi antara 291 keluarga peserta yang juga plaintif yang diwakili peguam Hisham Fauzi manakala Kesedar pula sebagai defendan diwakili peguam Arham Rahimy Hariri.
Terdahulu pada hari pertama proses mediasi dijalankan, lima wakil peserta iaitu bekas pengerusi PAKS Roslee Ibrahim; Tuan Hamid Tuan Ab Rahman; Saharudin Mohd Ibrahim; Anuar Amri Shafie @ Mohd Noor; dan Ahmad Fauzi Setapa mengadakan perbincangan di dalam kamar hakim bersama peguam kedua-dua pihak.
Hisham berkata tarikh itu ditetapkan sebagai tarikh akhir untuk Kesedar menimbangkan tiga cadangan penyelesaian daripada plaintif-plaintif.
“Sekiranya cadangan itu ditolak atau tiada keputusan oleh Kesedar selepas tarikh yang ditetapkan, Mahkamah akan menetapkan tarikh bicara kes.
“Tempoh itu diberikan untuk membolehkan pihak Kesedar membuat keputusan sama ada menerima tuntutan peserta atau sebaliknya,“ katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Kota Bharu di sini hari ini.
Beliau berkata antara cadangan penyelesaian peserta dalam mediasi itu adalah memohon kerja semula di ladang kelapa sawit seluas 3.7 hektar dengan status peneroka, selain peserta turut meminta segala faedah yang terkandung seperti dalam perjanjian peneroka biasa.
“Peserta juga memohon untuk mendapatkan wang sagu hati sebanyak RM8,400 untuk satu keluarga dan memohon supaya Kesedar memberi hak milik tanah seluas 0.2 hektar iaitu tapak rumah dan kebun koko kepada peserta.
“Peserta projek terbabit adalah seramai 585 peserta, bagaimanapun sebahagian daripada mereka sudah menandatangani surat persetujuan menyerahkan semula ladang mereka kepada Kesedar dan mereka ini diberikan hak milik tapak rumah serta ladang koko seluas 0.2 hektar serta wang gratuiti sebanyak RM8,400,“ katanya.
Pada 21 Jun 2022, peserta memfailkan saman tuntutan bernilai RM46 juta terhadap Kesedar kerana menamatkan perjanjian mengerjakan tanah ladang PAKS pada 12 Feb 2022. -Bernama

