Kes saman Naib Ketua AMK dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam

LocalPolitics
26 Nov 2025 • 5:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada 6 Ogos 2025.

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan pada Rabu membenarkan permohonan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi untuk memindahkan kes saman fitnah yang dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Selain permohonan itu, Nabil turut memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan pembelaan selepas menerima Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan pada 11 September lalu.

"Alhamdulillah, satu kemenangan kecil bagi saya kerana hakim Mahkamah Sesyen telah membenarkan permohonan pemindahan kes saya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan peguam saya yang diketuai Khairul Naim Rafidi yang begitu banyak membantu," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tegasnya, tindakan saman tersebut disifatkan sebagai satu bentuk politik ugutan yang mana ia merupakan retorik dan bercanggah dengan prinsip Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya mohon doa daripada rakan-rakan parti agar dipermudahkan urusan kes saya ini demi mempertahankan kebebasan bersuara serta melindungi parti lebih-lebih lagi Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kita daripada diserang secara melulu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Media melaporkan Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas menuntut permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM1 juta berhubung hantaran Facebook yang didakwa menyindir rundingan damai antara Thailand dan Kemboja menerusi satu karikatur yang dimuat naik dalam hantaran di Facebooknya.

Hantaran tersebut memaparkan ilustrasi seekor monyet berjubah hakim yang digambarkan menjadi orang tengah antara kambing dan biri-biri simbolik yang dianggap sebagai sindiran biadab terhadap usaha murni kerajaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved