Kes serang dengan parang, dua lelaki didakwa esok - Polis

LocalPolitics
11 Apr 2026 • 12:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis mengesahkan dua lelaki akan dihadapkan ke mahkamah pada Isnin ini bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes serangan menggunakan parang di sebuah kedai baru-baru ini.

BERA – Polis mengesahkan dua lelaki akan dihadapkan ke mahkamah pada Isnin ini bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes serangan menggunakan parang di sebuah kedai di Jalan Besar Mengkuang, Triang, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, setakat ini seramai lima lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, suspek pertama ditahan pada 4 April lalu di sebuah hospital di Kuala Lumpur, manakala empat lagi suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera secara berperingkat bermula 6 April.

“Hasil siasatan dijalankan, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pihak polis menerima arahan untuk menuduh dua suspek,” katanya.

Beliau berkata, suspek pertama akan dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata, manakala suspek kedua mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, tiga lagi individu yang ditahan akan dijadikan saksi pendakwaan, manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis masih mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan lanjut kes sama.

"Kedua-dua individu terbabit dikenali sebagai Maran dan Logathevan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.