Kes serang Zamri Vinoth: 4 lelaki direman bantu siasatan

LocalPolitics
10 Mar 2026 • 12:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keempat-empat suspek dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam pada pagi Selasa.
image is not available
Kesemua mereka memakai baju lokap polis dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam pada Selasa.
image is not available
Empat lelaki direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menyerang Zamri Vinoth.

BUKIT MERTAJAM – Empat lelaki direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth.

Kesemua suspek yang terdiri daripada dua jurutera, seorang juruteknik dan seorang pemandu van berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu dilaporkan tampil menyerah diri di sebuah balai polis di daerah ini awal pagi Selasa sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah selepas membenarkan permohonan polis di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini pada Selasa.

Sebelum ini, pihak polis memohon tempoh reman selama empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Dengan penahanan terbaharu itu, jumlah individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan kini meningkat kepada enam orang.

Terdahulu, keempat-empat lelaki berkenaan tiba di Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam kira-kira jam 8.35 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Mereka dilihat bergari serta memakai pakaian lokap berwarna oren dan ungu ketika dibawa masuk ke mahkamah bagi proses permohonan reman.

**media[3458494]**

Peguam yang mewakili mereka, V Parthipan berkata, pihaknya turut mengemukakan rakaman video kejadian yang kini tular di media sosial kepada mahkamah.

Menurutnya, rakaman tersebut didakwa tidak menunjukkan sebarang individu memegang batu atau kayu seperti yang didakwa oleh pengadu.

“Pengadu mendakwa penyerangnya memegang batu dan kayu namun rakaman video yang ditunjukkan jelas memperlihatkan tiada sesiapa memegang sebarang objek,” katanya ketika ditemui media di luar mahkamah.

Beliau berkata, rakaman itu juga menunjukkan individu yang berada di lokasi memberi tumpuan di bahagian pemandu kenderaan sedangkan kerosakan yang dilaporkan berlaku di bahagian kiri kereta.

Parthipan yang mewakili empat lelaki itu bersama peguam K Puvirajan dan T Turuvandran turut mempersoalkan penggunaan Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah dalam kes tersebut.

**media[3458492]**

Menurutnya, pengadu mendakwa berada dalam keadaan takut selepas kejadian berkenaan namun pada masa sama didakwa sempat menghasilkan video di platform TikTok di luar balai polis.

“Keadaan itu jelas menunjukkan beliau tidak berada dalam situasi ketakutan seperti yang didakwa,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga telah membuat laporan polis terhadap Zamri berhubung insiden tersebut.

Parthipan berkata, anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dengan tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, dua lelaki yang merupakan adik-beradik turut direman secara berasingan bagi membantu siasatan kes sama namun kedua-duanya telah dibebaskan selepas tempoh reman tamat.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail sebelum ini mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada Zamri berhubung dakwaan serangan tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.