
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung telah memaklumkan mengenai serangan ke atas aktivis, Cikgu Chandra atau nama penuhnya S. Chandrasegaran di kediamannya di Taman Kinrara, Puchong.
Serangan tersebut turut menyebabkan cermin kereta Perodua Viva serta tingkap rumah pecah sebelum satu lagi insiden menyebabkan tiga buah keretanya dibakar.
Polis kemudiannya mengesahkan dua insiden serangan berkenaan terhadap aktivis terbabit.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: 3 Kereta Milik Cikgu Chandra Dibakar, Rakaman Insiden Turut Tular Di Media Sosial [Video]
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Suami Selalu Terima Ugutan Bunuh, Saya & Anak Trauma – Isteri Cikgu Chandra
Polis buka 2 kertas siasatan berhubung insiden khianat dan ugut libatkan Cikgu Chandra
Terbaharu pihak polis memaklumkan dua kertas siasatan berhubung insiden khianat dan ugut jenayah melibatkan aktivis itu telah dibuka.
Jelas Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, polis telah menerima sebanyak dua laporan yang berasingan mengenai insiden pada 9 dan 10 Mac.
“Bagi insiden pertama, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, manakala bagi insiden kedua, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan berkaitan kejadian khianat dengan api yang melibatkan kenderaan di lokasi yang sama,” jelasnya, lapor Kosmo.
Siasatan terperinci sedang dibuat untuk kenal pasti motif dan pelaku
Beliau turut memaklumkan pihak polis kini sedang melakukan siasatan yang terperinci dari pelbagai sudut untuk mengenal pasti motif dan pelaku yang terbabit.
Oleh itu, Shazeli meminta orang ramai untuk memberikan ruang yang sepenuhnya kepada polis untuk melengkapkan proses siasatan bagi kes serangan tersebut.
Beliau dalam masa sama turut memberikan peringatan yang tegas kepada masyarakat untuk tidak melakukan sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh menyebabkan terjejasnya keharmonian kaum termasuklah ketenteraman awam.
Shazeli juga meminta mana-mana pihak yang ada maklumat berhubung kes itu untuk tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sekumpulan individu telah datang ke rumah dan mencampakkan objek dipercayai bom petrol
Dalam insiden kereta terbakar, dipercayai sekumpulan individu telah datang ke rumah cikgu Chandra sekitar jam 3.20 pagi pada 10 Mac sebelum mencampakkan objek yang dipercayai bom petrol.
Perbuatan itu telah mengakibatkan satu kereta jenis Suzuki Ertiga kepunyaan Cikgu Chandra musnah 100%. Insiden itu juga menyebabkan Perodua Viva serta satu lagi kenderaan terjejas ekoran kebakaran terbabit.
