Kes Syamsul Haris: Bedah Siasat Kedua Kesan Kecederaan Mencurigakan – Peguam

LocalPolitics
30 Aug 2025 • 7:16 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Proses bedah siasat kedua selama kira-kira tujuh jam menemukan beberapa kesan kecederaan trauma mencurigakan pada jasad pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

Penemuan itu didedahkan peguam, Datuk Naran Singh Ara Singh selepas proses bedah siasat yang bermula jam 9 pagi selesai pada 4 petang, hari ini.

“Kita temui kecederaan di badan yang mencurigakan serta memerlukan siasatan lanjut… Saya dengan hormatnya memohon Peguam Negara, dan Ketua Polis Negara mengambil tindakan segera dan menjalankan inkues dengan serta-merta.
“(Persoalan) yang pertama, bagaimana kecederaan ini boleh berlaku, kedua, siapa bertanggungjawab atas kecederaan ini?” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur.

image is not available

Menurutnya, hasil autopsi terbaharu itu memberi sinar keadilan buat keluarga Allahyarham namun enggan mengulas mengenai dapatan bedah siasat pertama.

Katanya, perkara itu memerlukan jawapan namun biarlah pakar berkaitan yang menjawabnya kerana sebarang komen lanjut daripada pihaknya dikhuatiri akan mengganggu siasatan polis.

Ketika diminta mengulas lebih lanjut berkenaan kesan kecederaan yang ditemui pada Allahyarham, beliau bagaimanapun enggan memberikan butiran terperinci atas sebab siasatan masih berjalan.

“Kita dah tahu (ada) kecederaan yang mungkin boleh menyebabkan kematian Allahyarham, itu sahaja yang saya boleh katakan setakat ini.
“Sebab (sebenar) dia meninggal kita tidak tahu kerana kejadian pada 28 hari bulan, sekarang dah lebih sebulan, mungkin pakar (forensik) dapat jawab,” katanya.

image is not available

Bedah Siasat Kedua Kesan Kecederaan Mencurigakan

Justeru, pihaknya memohon semua pihak yang terbabit mengambil berat dan bertanggungjawab dengan tragedi yang menimpa Allahyarham yang baru berusia 22 tahun itu.

Beliau menegaskan akan terus berjuang bagi mendapatkan keadilan buat Allahyarham serta memastikan individu yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

image is not available

image is not available

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak media yang memainkan peranan membantu usaha merungkai persoalan berhubung insiden tersebut.

Terdahulu, pada Jumaat, jasad Allahyarham telah digali semula selepas Mahkamah membenarkan permohonan untuk dilakukan bedah siasat kedua. Proses penggalian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu bermula 8.45 pagi dan selesai kira-kira 9.22 pagi, sebelum mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Sumber: Harian Metro (Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil)