Kes Syamsul Haris: Tiga jurulatih Palapes berdepan hukuman penjara 30 tahun

LocalPolitics
27 Feb 2026 • 11:07 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang juga pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor hari ini, berhubung kes kematian tragis pelatih Syamsul Haris Shamsudin, tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail mengesahkan pertuduhan tersebut dibuat selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti semula kertas siasatan yang sebelum ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).

Hukuman penjara sehingga 30 tahun

Ketiga-tiga suspek kini berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada niat membunuh.

“Pertuduhan akan dibuat pagi ini di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Hukuman bagi kesalahan ini memperuntukkan pemenjaraan hingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda,” kata Mohd Khalid dalam kenyataan rasmi hari ini.

Beliau turut menegaskan agar orang ramai menghentikan sebarang spekulasi liar demi menghormati integriti proses perbicaraan.

“Siasatan telah lengkap dan masyarakat dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes sementara polis melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.”

Kes yang meruntun jiwa ini bermula apabila Allahyarham Syamsul Haris, 22, menghembuskan nafas terakhir pada 28 Julai tahun lalu selepas menjalani latihan intensif di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram.

26 Ogos 2025: Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur mangsa digali semula (ekshumasi) untuk bedah siasat kedua selepas timbul keraguan dalam laporan awal.

30 Ogos 2025: Bedah siasat kedua dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum jenazah dikebumikan semula di Semenyih.

2 Disember 2025: AGC mengarahkan PDRM mengklasifikasikan semula kes sebagai kes bunuh (Seksyen 302) sebelum akhirnya dimuktamadkan kepada pertuduhan mematikan orang dengan salah hari ini.

Keadilan kini diserahkan sepenuhnya kepada proses perundangan di mahkamah bagi membela nasib keluarga Allahyarham yang menuntut ketelusan sejak hari pertama kejadian. - 27 Februari, 2026

The post Kes Syamsul Haris: Tiga jurulatih Palapes berdepan hukuman penjara 30 tahun appeared first on Scoop.