Kes Syed Saddiq: Mahkamah Persekutuan Arah Kedua Pihak Fikir Semula

LocalPolitics
12 Dec 2025 • 4:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Mahkamah Persekutuan hari ini mengambil pendekatan luar biasa apabila menangguhkan prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mahkamah turut mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk ‘pulang, berfikir, dan mempertimbangkan semula’ sama ada mereka mahu mengekalkan pendirian masing-masing.

Mempengerusikan panel tiga hakim, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais berkata, arahan itu dibuat selepas dua hari hujahan, serta penelitian terperinci terhadap penghujahan bertulis dan keputusan terdahulu oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Menggunakan analogi hoki dalam mahkamah, beliau berkata, pengadil akan mengarahkan pemain meninggalkan padang selama beberapa minit untuk ‘bertenang’, jika dia merasakan mereka tidak mengikut peraturan ketika bermain. 

“Saya meminta kedua-dua pihak untuk pulang, renungkan hujahan anda, dan kemudian maklumkan pendirian anda. 

“Adakah anda masih merasakan dengan kuat bahawa rayuan ini perlu diputuskan oleh mahkamah ini, atau adakah anda perlu menilai dan meneliti semula semuanya,” katanya.

Panel tersebut yang turut dianggotai Datuk Che Mohd Ruzima Razali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah menegaskan bahawa arahan berkenaan perlu diambil serius, terutamanya oleh pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Datuk Akram Gharib, serta pasukan pembelaan yang diketuai Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ambiga Sreenevasan.

Berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Timbalan Pendakwa Raya, Abu Bakar menjelaskan, Jabatan Peguam Negara secara tradisinya menilai semula kes-kesnya secara dalaman sebelum memutuskan sama ada untuk meneruskan rayuan.

“Jika selepas menilai kes anda masih percaya anda boleh membuktikan rayuan itu, maka teruskanlah. Tetapi jika selepas meneliti semuanya anda merasakan tidak banyak asas yang kukuh, maka maklumkan kepada mahkamah,” katanya.

Di bawah arahan mahkamah, Akram harus memfailkan hujahan bertulis tambahan dalam masa seminggu, dan pihak pembelaan akan diberi seminggu lagi untuk menjawab sebelum menyatakan pendirian akhir mereka. 

Abu Bakar memberitahu, para hakim akan meneruskan penyediaan dan penyampaian keputusan jika tiada jawapan difailkan. 

“Ketiga-tiga hakim akan menulis alasan penghakiman.

“Sama ada kebenaran diberikan atau tidak akan bergantung pada tiga penghakiman tersebut. Itulah sebabnya kami menghadkan tempoh masa untuk kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan menjawab,” katanya.

Apabila Wan Shaharuddin meminta penjelasan, Abu Bakar mengulangi bahawa kedua-dua pihak harus benar-benar mempertimbangkan semula merit untuk meneruskan.

“Perkara ini pernah berlaku, kadangkala rayuan ditarik balik. Jadi renungkan, dan maklumkan kepada kami,” katanya.

Sambil berseloroh, Abu Bakar ketika menjawab pertanyaan Hisyam mengenai jadual berkata, para hakim akan tetap menyampaikan keputusan tanpa mengira apa yang berlaku. 

“Apabila kami menetapkan tarikh keputusan, itu hanya untuk memaklumkan pihak-pihak. Sama ada anda berada di Caribbean atau di tempat eksotik lain bukan urusan kami. Kami walau bagaimanapun akan tetap menyampaikan keputusan,” katanya. 

Pihak pendakwaan sedang merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada Julai lalu yang membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan iaitu bersubahat melakukan pecah amanah jenayah melibatkan RM1 juta dana ARMADA BERSATU;  menyalahgunakan RM120,000 hasil kutipan makan malam politik; serta dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM100,000 yang dipindahkan ke akaun ASB beliau.

Sepanjang dua hari lalu, pihak pembelaan berhujah bahawa Mahkamah Rayuan betul dalam mendapati tiada kes prima facie, sambil mengekalkan bahawa Mahkamah Tinggi tersilap mentafsir undang-undang dan saksi utama pendakwaan, khususnya SP13 yang juga bekas penolong bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali sebagai tidak boleh dipercayai dan mungkin telah ditekan oleh penyiasat.

Pihak pendakwaan pula berhujah bahawa mahkamah rayuan ‘menulis semula undang-undang’ dan tersilap apabila mengetepikan dapatan mahkamah perbicaraan.

Kedua-dua pihak perlu memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan dalam masa seminggu sama ada mereka berhasrat meneruskan rayuan atau mempertimbangkan semula pendirian masing-masing. 

Mahkamah kemudian akan menetapkan tarikh untuk menyampaikan keputusan.

Syed Saddiq menghadiri prosiding hari ini bersama pasukan peguamnya, ahli keluarga termasuk abangnya, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman, turut dikenali sebagai Space Dollah serta selebriti yang digosipkan sebagai pasangannya, Bella Astillah.

Bella sebelum ini turut hadir pada prosiding terdahulu. - Getaran, 12 Disember 2025