
KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan supaya kes tembakan melibatkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka, diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Dalam satu kenyataan, AGC berkata keputusannya dibuat berdasarkan taklimat dan cadangan yang dikemukakan oleh pihak polis.
“Berdasarkan taklimat dan cadangan yang dikemukakan oleh PDRM, Jabatan ini bersetuju dan mengarahkan agar siasatan diklasifikasikan semula di bawah Sksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.
“Penelitian awal Jabatan ini mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa jua keputusan muktamad dibuat,’’ katanya.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, telah memberi jaminan kepada bahawa siasatan terhadap kes tembakan polis itu akan dijalankan secara menyeluruh dan telus.
Insiden tembakan itu berlaku kira-kira jam 4.30 pagi pada 24 November di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Dalam kejadian itu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis.
Pegawai polis tersebut, yang berusia awal 30-an, mengalami kecederaan serius pada lengan kirinya.
Polis berkata ketiga-tiga mereka dipercayai ahli Geng Durian Tunggal, yang aktif sejak 2024 dan dikaitkan dengan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1.35 juta.
Bagaimanapun, pada 3 Disember lalu, ahli keluarga si mati mempertikaikan dakwaan polis bahawa suspek telah menyerang anggota polis, sekali gus mendorong Bukit Aman menubuhkan pasukan khas pada 4 Disember untuk menyiasat dakwaan tersebut. – 16 Disember, 2025
The post Kes tembak di Durian Tunggal, Melaka diklasifikasikan kes bunuh: AGC appeared first on Scoop.
