Kes Tembak Komander AKPS: Anggota PGA Bahagian Risikan Ditahan, Disyaki Rapat Dengan Ahli Sindiket

LocalPolitics
12 Mar 2026 • 2:26 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada 25 Februari lalu, kecoh di media sosial insiden melibatkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam yang ditembak dengan dua das tembakan.

Dalam kejadian yang berlaku jam 5.40 pagi, SAC Mohd Nasaruddin M Nasir sedang memandu Proton X70 menuju ke Masjid Al Muhajirin, Bukit Kayu Hitam untuk menunaikan solat subuh.

Dia kemudiannya didatangi dua individu berpakaian serba hitam menaiki motosikal dengan topi keledar ‘full-face’ sebelum salah seorang daripada mereka melepaskan dua tembakan yang terkena pada bahagian pintu belakang sebelah kanan dan pintu hadapan kiri.

Mohd Nasaruddin bagaimanapun terselamat dan cuba mengejar dua individu terbabit sebelum memandu kenderaannya ke Balai Polis ICQ untuk mendapatkan perlindungan.

Susulan itu, polis telahpun menahan 11 suspek yang terdiri daripada 10 lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand yang masing-masing berusia 22 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan.

Walau bagaimanapun, sembilan daripada 11 suspek dibebaskan pada 9 Mac lalu manakala dua lagi masih direman.

Anggota PGA Ditahan Bantu Siasatan, Positif Dadah Jenis Ketamin

Terbaharu, polis menahan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Koperal untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, anggota yang berusia dalam linkungan 30-an dan bertugas di bahagian perisikan sempadan ditahan pada 5 Mac lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Suspek kemudiannya direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Anggota ini sudah dua tahun bertugas di sempadan, dia adalah perisik, kita tahan dia bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap Komander AKPS berkenaan.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis ketamin, namun kita tak tahan dia kerana ambil dadah sebaliknya untuk membantu siasatan kes ini,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Anggota PGA Mempunyai Hubungan Rapat Dengan Ahli Sindiket

Tambah Adzli, hasil siasatan awal mendapati anggota tersebut mempunyai hubungan rapat dengan ahli sindiket yang disyaki terlibat dalam insiden terbabit.

Malah, siasatan turut mendapati anggota terbabit berada di lokasi kejadian bersama ahli sindiket kira-kira empat hingga lima jam sebelum kejadian tembakan berlaku.

“Maklumat yang kita peroleh menunjukkan dia berkawan rapat dengan ahli sindiket dan dipercayai pernah bersama-sama menghisap dadah.

“Jadi apabila ada maklumat sedemikian, kita tidak akan berkompromi dan perlu menahannya untuk siasatan,” terangnya.

Anggota PGA Telah Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

Walau bagaimanapun, anggota terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam (11 Mac) setelah tempoh reman tamat.

Terang Adzli, polis akan mendapatkan perintah bon jaminan Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan anggota memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kaitan anggota berkenaan dengan sindiket yang disyaki terbabit dalam insiden tembakan itu.

“Kes ini sangat serius kerana membabitkan tembakan terhadap anggota penguat kuasa, jadi kita akan siasat secara menyeluruh tanpa mengira sesiapa,” katanya.

Polis Minta Kerjasama Pegawai Pemerintah Anggota PGA

Pada masa yang sama, pihaknya akan meminta pegawai pemerintah anggota terbabit sama ada untuk menahannya daripada bekerja atau sebaliknya sekiranya khuatir berlaku kebocoran maklumat atau mengganggu siasatan.

“Suspek antara 11 individu yang kita tahan dan kita merayu kepada orang ramai yang ada maklumat mengenai kes ini dapat menghubungi polis dan boleh maklum kepada saya sendiri secara rahsia,” jelasnya lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Seorang Lagi Anggota PGA Cedera Ditembak, Kali Ini Di Bukit Kayu Hitam

Baca Artikel Berkaitan: Balai Polis Ulu Tiram Diserang, 2 Anggota Maut & Seorang Cedera