Kes Tembak Sungai Golok: Hutang Perniagaan Disyaki Punca Rakyat Malaysia Ditembak – Polis Thailand

LocalPolitics
12 Nov 2025 • 10:10 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Pada awal November lalu, orang ramai dikejutkan dengan kejadian seorang rakyat Malaysia yang maut ditembak secara bertubi-tubi di kediamannya yang terletak di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand.

Mangsa, Mohd Fuad Fahmie Ghazali yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ditembak sebanyak 18 kali di hadapan isteri, Wan Fatihah Mat Hussin sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok kira-kira jam 9 malam waktu Malaysia.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat salah seorang suspek terlibat merupakan bekas pemain Kelantan FA pada tahun 2019.

Bagaimanapun, suspek yang pernah beraksi sebagai penjaga gol itu telah menyerah diri bersama pistol yang digunakan di Balai Polis Sungai Golok pada 2 November.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Tembak Di Sungai Golok: Suspek Ditahan Polis Selepas Serah Diri Bersama Senjata

Punca Kejadian Bukan Kerana Hutang Dadah, Disyaki Berkaitan Dengan Hutang Perniagaan

Terbaharu, polis Thailand mengesahkan kes rakyat Malaysia yang mati ditembak itu bukan kerana hutang berkaitan dadah.

Menurut Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha, pembunuhan disyaki berpunca akibat pertengkaran mengenai hutang perniagaan pakaian.

Polis Dedah Suspek & Mangsa Sudah Beberapa Kali Bergaduh

Jelas Prayong, mangsa yang berusia 33 tahun disyaki dibunuh kerana gagal melangsaikan hutang mencecah ribuan ringgit terhadap suspek yang merupakan pemain bekas bola sepak Kelantan FA.

“Mangsa yang berasal dari Pasir Mas, dipercayai enggan membayar hutang kepada suspek sejak tahun lalu.

“Berdasarkan hasil siasatan kami, suspek berusia 31 tahun itu mengaku dia dan mangsa sudah beberapa kali bergaduh berhubung isu terbabit.

“Pertengkaran mereka bermula sejak tahun lalu tetapi dikatakan berjaya diselesaikan oleh rakan-rakan dan saudara-mara sebelum ini,” katanya.

Tambahnya lagi, pergaduhan ketiga berlaku pada awal bulan ini di mana suspek mengaku menembak mangsa berkali-kali selepas mangsa enggan membayar hutang.

Berdasarkan hasil siasatan, polis Thailand menolak dakwaan insiden pembunuhan tersebut berkaitan dengan dadah.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek kini sedang ditahan dalam penjara di Narathiwat,” katanya.

Polis Giat Buru Seorang Lagi Suspek

Dalam pada itu, Prayong menjelaskan pihaknya kini memburu seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan tersebut.

Suspek tersebut dikenali sebagai Salip Samae merupakan penduduk tempatan di pekan tersebut.

Hasil siasatan mendapati, Salip merupakan adik kepada suspek yang telah menyerah diri kepada polis.

“Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada suspek memiliki dua kerakyatan atau sebaliknya.

“Jika dia melarikan diri ke negara jiran, kemungkinan besar laluan yang digunakan adalah laluan haram,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Malah, Prayong menjelaskan pihaknya kini giat mengesan Salip termasuklah mengadakan sekatan jalan raya bagi membantu siasatan dan menyelesaikan kes tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Tembak Sungai Golok: Polis Tak Tolak Kemungkinan Hutang Lama Jadi Punca Rakyat Malaysia Ditembak

Baca Artikel Berkaitan: Kes Tembakan Di Golok: Suspek Bekas Pemain Kelantan FA 2019