
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Kisah pembunuhan kejam melibatkan rakyat Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali yang ditembak oleh dua orang individu di kediamannya yang terletak di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand pada 1 November lalu nyata mendapat perhatian ramai.
Manakan tidak, mangsa ditembak sebanyak 18 kali di hadapan isteri, Wan Fatihah Mat Hussin sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Golok kira-kira jam 9 malam waktu Malaysia.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan salah seorang suspek terlibat merupakan bekas pemain Kelantan FA pada tahun 2019.
Suspek yang beraksi sebagai penjaga gol bagaimanapun telah menyerah diri bersama pistol yang digunakan untuk menembak mangsa di Balai Polis Sungai Golok pada Ahad lalu (2 November).
Baca Artikel Berkaitan: Kes Tembak Di Sungai Golok: Suspek Ditahan Polis Selepas Serah Diri Bersama Senjata
Dendam Lama Mungkin Jadi Punca Suspek Bertindak Demikian
Terbaharu, pihak berkuasa Thailand tidak menolak kemungkinan kejadian baru-baru ini disebabkan dendam lama suspek sehingga dia nekad bertindak sedemikian.
Menurut jurucakap polis, siasatan lanjut masih dijalankan selepas suspek utama telah berjaya diberkas.
“Kami tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut siasatan. Siapa yang hutang siapa masih dalam siasatan. Tetapi kes ini ada kaitan dengan hutang,” katanya dipetik Kosmo.
Suspek Kini Ditahan Reman 80 Hari
Jelasnya, suspek yang mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand ditahan reman selama 80 hari bagi membantu siasatan.
Beberapa saksi terlibat juga telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kejadian terbabit.
Sewaktu ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan terdapat dua suspek terlibat, jurucakap polis menjelaskan perkara itu masih disiasat.
“Suspek ditahan reman 80 hari untuk membantu siasatan. Dia kini masih ditahan di Balai Polis Sungai Golok sebelum dihantar ke Penjara Pusat Narathiwat untuk tahanan reman,” jelasnya lagi.
Suspek Pernah Terima 120 Jahitan Akibat Ditetak – Sumber
Menerusi laporan berbeza, sumber dari Thailand mendedahkan suspek pernah menerima 120 jahitan di tangan termasuklah 20 jahitan di kepala akibat ditetak dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Golok selama sebulan.
Menurut Kosmo yang memetik sumber, hasil siasatan mendapati insiden tersebut berlaku kira-kira empat bulan lalu.
“Setakat ini kita masih melakukan siasatan sama ada dendam lama ini (suspek parah ditetak) menjadi punca dia nekad (membalas dendam). Kejadian (tetak) tersebut dikatakan berpunca ketika suspek menuntut hutangnya.
“Kita akan melakukan siasatan lanjut dan rapi terhadap suspek yang masih ditahan di Balai Polis Sungai Golok,” kata sumber berkenaan kepada Kosmo.
Ibu Mangsa Dedah Anak Tidak Pernah Berhutang Dengan Suspek
Sebelum ini, ibu mangsa, Zaiton Abdul Rahman mendedahkan anaknya tidak pernah berhutang dengan suspek.
Namun, suspek pernah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap arwah sebelum ini.
“Arwah pernah bercerita mengenai lelaki itu yang tidak puas hati dengannya. Ada yang mengaitkan unsur hutang namun kisah sebenar adalah anak saya tidak berhutang dengan dia.
“Sebaliknya dia yang menipu duit menantu saya sebanyak RM2,000 namun anak saya sudah menghalalkan wang berkenaan, namun masih timbul isu tidak puas hati,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Tembakan Di Golok: Suspek Bekas Pemain Kelantan FA 2019
Baca Artikel Berkaitan: Kes Tembak Di Sungai Golok: Suspek Ditahan Polis Selepas Serah Diri Bersama Senjata


