Kes tetak di hadapan pusat beli-belah selesai susulan penahanan empat individu

LocalPolitics
1 Mar 2026 • 1:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Datuk Azizee Ismail.

GEORGE TOWN - Polis percaya dapat menyelesaikan kes seorang lelaki diserang dan ditetak sehingga cedera parah di sebuah pusat beli-belah di Jalan Kelawai, di sini Rabu lepas susulan penahanan empat suspek sebelum ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, dua lelaki dan dua wanita yang berusia 29 hingga 40 tahun itu kini direman, masing-masing antara empat hingga lima hari bagi membantu siasatan.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap empat suspek yang ditahan itu termasuk bagi mengetahui motif sebenar, namun kita jangka penahanan mereka dapat menyelesaikan kes itu yang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Azizee berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan semua suspek yang ditahan itu saling mengenali.

Semalam media melaporkan dua lelaki masing-masing berusia 29 tahun direman selama lima hari hingga 4 Mac manakala seorang wanita berusia 40 tahun pula direman empat hari hingga 3 Mac bagi membantu siasatan.

Dua lelaki yang direman berkenaan adalah ahli perniagaan, manakala wanita itu pula bekerja sebagai pentadbir syarikat dan kejadian dipercayai bermotifkan konflik perniagaan.

Terdahulu pada Jumaat media melaporkan polis menahan reman seorang wanita berusia 38 tahun bagi membantu siasatan kes itu.

Rabu lepas, seorang lelaki cedera parah selepas diserang dan ditetak seorang lelaki di sebuah pusat beli-belah di sini sebelum melarikan diri menaiki motosikal. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved