Kes Tikam Di Sekolah Di Bandar Utama: Remaja 15 Tahun Akan Dibicara Di Mahkamah Tinggi

LocalPolitics
30 Jan 2026 • 6:22 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pelajar berusia 15 tahun yang dituduh membunuh rakan sekolah berusia 16 tahun di Bandar Utama pada Oktober tahun lalu (2025) akan berdepan perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Majistret Amira Sariaty Zainal mengarahkan kes itu dipindahkan selepas pihak pendakwaan memperoleh kebenaran untuk mendakwa tertuduh di bawah Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut peguam, Kitson Foong yang mewakili tertuduh, kes terbabit dijangka dibicarakan sepenuhnya selepas dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

“Pertuduhan ketika ini adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.

“Pihak pendakwaan telah menilai keterangan dan berpendapat ia mencukupi untuk pertuduhan membunuh diteruskan.

“Kami menghormati keputusan itu dan akan berhadapan dengan mereka di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan penuh,” kata Foong, dipetik Berita Harian,

Remaja Layak Dibicarakan Selepas Jalani Penilaian Psikiatri

Mengulas tentang tahap kesihatan, remaja telah menjalani penilaian psikiatri selama tiga bulan oleh Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony. Keputusan penilaian itu mendapati pelajar lelaki itu layak dibicarakan.

Jelas Foong, atas permintaan pihak pembelaan, majistret mengarahkan kes itu diberi keutamaan di Mahkamah Tinggi bagi tujuan pengurusan kes.

“Ini supaya kami dapat bertindak pantas demi kepentingan terbaik kanak-kanak berkenaan untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

“Segala persiapan untuk perbicaraan telah lengkap dan kami berharap pihak berkuasa di pendaftaran Mahkamah Tinggi dapat memudahkannya. Perbicaraan akan diteruskan sebaik sahaja kami dimaklumkan mengenai hakim yang akan mendengar kes ini dan tarikh perbicaraan,” katanya.

Tertuduh Dikategori Pesalah Juvana

Dalam laporan sama, remaja lelaki itu tidak boleh dikenal pasti secara umum kerana statusnya kini sebagai pesalah juvana dan ditempatkan di Pusat Koreksional Puncak Alam.

Tertuduh hadir pada prosiding hari ini (30 Januari) dan dibawa masuk ke bilik mahkamah melalui laluan dalaman yang ditutup kepada orang awam.

Prosiding kes diterhadkan kepada media sahaja dan tiada rakaman gambar atau video dibenarkan.

Remaja Ditempatkan Di Pusat Khas Juvana Tunjuk Perkembangan Positif

Mengenai keadaan pelajar berkenaan, Foong berkata anak guamnya menunjukkan perkembangan positif hasil daripada rawatan, pengambilan ubat-ubatan dan sesi kaunseling yang disediakan di pusat tahanan khas untuk pesalah juvana bawah 18 tahun.

“Dia memberi tindak balas yang baik terhadap rawatan dan berada di landasan positif untuk menjadi insan yang lebih baik,” tambah Foong lagi.

Untuk info, remaja lelaki terbabit didakwa membunuh rakan sekolahnya, Yap Shing Xuen seorang pelajar kelas peralihan di tandas perempuan SMK Bandar Utama Damansara (4) di Bandar Utama antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan kes ini memperuntukkan hukuman mati, atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta 12 sebatan jika disabit kesalahan.

Baca Artikel Berkaitan: “Dunia Ini Palsu, Saya Sudah Menang” – Nota Terakhir Suspek Tikam Pelajar Perempuan Tingkatan 4

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Perempuan Tingkatan 4 Maut Ditikam Pelajar Lelaki Tingkatan 2 Di Sekolah Di Bandar Utama