Kes Tikam Pelajar Di Bandar Utama: Remaja Lelaki 15 Tahun Bebas Tuduhan Bunuh Atas Alasan Tidak Waras

14 Sep 2026 • 3:53 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Kes Tikam Pelajar Di Bandar Utama: Remaja Lelaki 15 Tahun Bebas Tuduhan Bunuh Atas Alasan Tidak Waras

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Masihkah anda ingat kes seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya yang maut akibat ditikam oleh pelajar lelaki Tingkatan Dua pada 14 Oktober 2025?

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.10 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan pelajar lelaki berkenaan juga turut ditahan.

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Perempuan Tingkatan 4 Maut Ditikam Pelajar Lelaki Tingkatan 2 Di Sekolah Di Bandar Utama

Remaja Lelaki Bebas Tuduhan Bunuh Atas Alasan Tak Waras

Terbaharu, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini (14 September) membebaskan remaja lelaki yang berusia 15 tahun itu daripada pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikaman di Bandar Utama atas alasan tidak waras.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Adlin Abdul Majid selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan wujud elemen ketidakwarasan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan ketika kejadian berlaku.

Remaja Turut Diperintah Jalani Rawatan, Pakar Psikiatri Turut Sahkan Remaja Alami Skizofrenia

Menurut peguam yang mewakili remaja berkenaan, Kitson Foong, mahkamah turut memerintahkan anak guamnya itu dihantar ke hospital psikiatri bagi menjalani rawatan.

“Mahkamah menerima hakikat bahawa penama tidak waras pada tarikh dan masa kejadian.

“Justeru, Seksyen 84 Kanun Keseksaan berjaya dibuktikan dan pihak pendakwaan gagal menyangkalnya,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Tambah Kitson, pakar psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta Perak, Dr Ian Lloyd turut mengesahkan remaja berkenaan mengalami skizofrenia yang serius dan agresif.

“Skizofrenia ini telah menyebabkan dia (remaja lelaki) bukan (menjadi) dirinya sendiri. Dia ingat dia dewa. Dia kata dia mendengar suara dan arahan seseorang dan perkara ini tidak dinafikan oleh pihak pendakwaan,” katanya yang dipetik dari Malaysia Kini.

Isu Utama Bukan Perbuatan Fizikal Sebabkan Kematian Mangsa, Kewarasan Ketika Kejadian

Jelas Kitson lagi, isu utama sepanjang tempoh perbicaraan bukan sama ada remaja tersebut melakukan perbuatan fizikal sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Namun sebaliknya, keadaan kewarasan anak guamnya ketika kejadian berlakku.

Sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung, sebanyak 11 saksi pendakwaan dipanggil manakala pihak pembelaan telah mengemukakan dua saksi iaitu remaja terbabit serta Dr Ian.

Remaja Akan Dihantar Ke Hospital Untuk Rawatan Sebelum Kembali Ke Masyarakat

Tambah Kitson, mahkamah turut mengingatkan remaja berkenaan bahawa dia telah meragut nyawa seseorang dan itu merupakan satu perkara yang amat serius.

“Mahkamah mengingatkannya supaya tidak sesekali mengambil mudah kebebasan dan peluang kedua yang diberikan kepadanya serta sentiasa mengingati nyawa yang telah diragut,” katanya.

Remaja tersebut akan dihantar ke hospital psikiatri bagi menjalani rawatan.

Ia termasuk pemberian ubat serta sesi kaunseling sebelum penilaian lanjut dibuat untuk menilai tahap kesediaan remaja terbabit untuk kembali ke masyarakat.

Berdasarkan pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa membunuh rakan sekolahnya di bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama pada 14 Oktober 2025 kira-kira jam 9.20 pagi sehingga 9.35 pagi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta hukuman sebat tidak melebihi 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Walau bagaimanapun, mengikut Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan kepada kanak-kanak yang berusia bawah 18 tahun.

Namun sebagai ganti, mahkamah boleh memerintahkan individu terbabit ditahan selama tempoh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua seperti yang terkandung di bawah Seksyen 97 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.

Pada 12 Februari lalu, remaja berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Adlin.

Baca Artikel Berkaitan: “Dunia Ini Palsu, Saya Sudah Menang” – Nota Terakhir Suspek Tikam Pelajar Perempuan Tingkatan 4

Baca Artikel Berkaitan: Kes Tikam Di Sekolah Di Bandar Utama: Remaja 15 Tahun Akan Dibicara Di Mahkamah Tinggi

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved