
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, negara digemparkan dengan kejadian seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun menikam rakannya di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Banting, Selangor.
Bagaimanapun, remaja terbabit telah ditahan dan direman selama empat hari bermula 6 Julai bagi membantu siasatan.
Tak Puas Hati & Pendam Perasaan Dakwa Dibuli Jadi Alasan Tikam Rakan – KP Selangor
Terbaharu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mendedahkan hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap beberapa individu yang didakwa pernah membulinya.
Walau bagaimanapun jelas Shazeli, keterangan yang diperolehi itu belum menunjukkan wujudnya insiden buli seperti yang didakwa.
“Hasil siasatan awal peringkat ini, kita mendapati alasan diberikan adalah berkaitan dengan rasa tidak puas hati ataupun boleh dikatakan memendam perasaan suspek terhadap beberapa individu rakan sekolahnya yang dikatakan membuli suspek tersebut.
“Namun, hasil daripada keterangan yang diberi tidak menjurus kepada berlakunya aktiviti buli tersebut,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Senjata Dibeli Dari Platform Jualan Talian, Datang Sekolah Guna Perkhidmatan E-Hailing
Jelas Shazeli, pisau yang digunakan oleh suspek dalam kejadian tersebut dipercayai diperolehi menerusi pembelian dari platform jualan dalam talian.
Terangnya, senjata tajam itu dibawa oleh suspek di dalam sebuah beg sebelum dia memasuki kawasan sekolah menerusi pintu pagar utama yang terbuka pada waktu terbabit.
“Siasatan juga mendapati suspek menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk datang ke sekolah pada hari kejadian,” jelasnya.
Sewaktu diminta mengulas sama ada terdapat kelemahan dari aspek kawalan keselamatan sekolah, Shazeli menejelaskan perkara tersebut tidak boleh disimpulkan sebagai kecuaian pengawal keselamatan.
“Tidak boleh dikatakan kelemahan pihak sekolah. Ini kerana kita perlu lagi melihat mungkin pada waktu tersebut pintu pagar dibuka disebabkan ada kemasukan ataupun individu yang keluar.
“Apabila proses pagar tersebut dibuka dan mungkin dalam proses nak tutup, suspek mengambil peluang memasuki kawasan sekolah,” katanya.
Suspek Tak Datang Sekolah Sejak 8 Bulan Lalu, Pernah Terlibat Insiden Terjatuh Bangunan Sekolah
Kata Shazeli lagi, pihaknya mengesahkan ada menerima maklumat mengenai suspek yang didakwa merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori autism.
Walau bagaimanapun siasatan lanjut bersama pihak terlibat sedang dijalankan.
“Kita turut meneliti kemungkinan pengaruh media sosial terhadap pemikiran dan tingkah laku suspek,” terangnya.
Kongsi Shazeli, suspek juga dilaporkan sudah tidak hadir ke sekolah sejak lapan bulan lalu dan kini mengikuti pembelajaran secara ‘homeschooling’ atau di rumah ekoran masalah kesihatan yang dihadapi.
“Suspek pernah terlibat dalam satu insiden terjatuh dari bangunan sekolah pada penghujung tahun lalu,” jelasnya.
Malah, suspek dipercayai mempunyai isu tekanan emosi dan kemurungan namun punca sebenar masih lagi dalam siasatan dan penilaian pakar.
Siasatan Masih Berjalan, Rakaman Percakapan Termasuk 10 Pelajar Yang Dikaitkan Dengan Kes
Pada masa sama, Shazeli memaklumkan pihaknya telah mengambil keterangan beberapa individu termasuklah 10 pelajar yang namanya tular di media sosial serta dikaitkan dengan insiden berkenaan.
“Siasatan berhubung kes tikaman itu masih berjalan dan belum selesai sepenuhnya, Jadi saya minta beri ruang kepada pegawai penyiasat membuat siasatan sepenuhnya dan dapat membuat kesimpulan secara menyeluruh,” katanya.
Terang Shazeli lagi, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan serta menjalanu proses pemulihan.
“Temu bual terhadap mangsa juga telah dijalankan,” katanya.
Siasatan Sama Ada Media Sosial Pengaruh Suspek Juga Masih Berjalan
Jelas Shazeli sewaktu ditanya sama ada perbuatan suspek dipengaruhi hantaran media sosial yang mempunyai unsur jenayah, dia menjelaskan siasatan masih dijalankan.
Ia termasuklah aspek berkenaan yang dipercayai boleh mempengaruhi minda serta kelakuan suspek.
“Apa jenis video media sosial itu saya tidak boleh kongsikan kerana masih lagi dalam siasatan dari polis,” ujarnya.
Terdahulu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera pada beberapa anggota badan dipercayai akibat ditikam di kawasan sekolah menggunakan senjata pisau.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Mohd Akmalrizal Radzi, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat (10 Julai) dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Pelajar Parah Ditikam Di Sekolah: Bapa Fikir Anak Jatuh Sakit, Terkejut Lepas Tahu Ditikam
Baca Artikel Berkaitan: Kes Tikam Murid Perempuan Di Sekolah: Pelajar 15 Tahun Direman Empat Hari, Peguam Sahkan Suspek OKU
Baca Artikel Berkaitan: ‘Nama Anak Ada Dalam Senarai Sasaran Nombor 10’ – Bapa Pelajar Sekolah Ditikam Di Banting





