SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, menetapkan perbicaraan secara tertutup, membabitkan remaja 15 tahun dalam kejadian tikam pelajar 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Oktober tahun lalu bermula Ogos depan.
Peguam, Kitson Foong yang mewakili remaja lelaki itu berkata, semasa pengurusan kes, Hakim, Adlin Abdul Majid menetapkan prosiding tersebut berlangsung selama 10 hari iaitu pada 3 hingga 7, dan 10 hingga 14 Ogos.
Menurutnya, seramai 10 hingga 14 saksi, termasuk budak lelaki itu, dijangka memberi keterangan di mahkamah.
Kitson berkata, pihak pendakwaan, pembelaan dan budak lelaki itu telah menandatangani pernyataan fakta yang dipersetujui serta isu-isu yang akan dibicarakan.
“Kami bersetuju bahawa kejadian itu memang berlaku, lokasi kejadian dan senjata digunakan.
“Kedua-dua pihak juga bersetuju supaya kes ini dipercepatkan malah saksi-saksi penting sahaja akan dipanggil memberi keterangan," katanya ketika dihubungi.
Kitson berkata, remaja yang tidak boleh dinamakan itu akan hadir semasa prosiding kelak dari Pusat Koreksional Puncak Alam.
Dalam pada itu, beliau berkata, hakim menekankan supaya ubat dan sebarang rawatan untuk budak lelaki itu mesti diberikan mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor.
Katanya, pendakwaan dalam kes terbabit, dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durranie Aziz.
Hadir sama ialah peguam pemerhati, Datuk Yasmeen Shariff dan Jason Lim Jie Sheng dari Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.
Prosiding dijalankan secara tertutup dan hanya keluarga remaja berkenaan dibenarkan berada di bilik bicara kerana melibatkan kes juvana.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan Tiga kelas peralihan di bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama dekat sini, antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan jika tidak dihukum gantung.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah itu selepas disyaki ditikam berulang kali.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini diberitahu, laporan psikiatri mengesahkan remaja itu layak dibicarakan.
End

