Kes tinggal lebih masa catat pendakwaan tertinggi imigresen KL

15 Jan 2026 • 6:04 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Kesalahan tinggal lebih masa mencatat jumlah pendakwaan tertinggi membabitkan warga asing yang ditahan oleh Imigresen Kuala Lumpur tahun lepas.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,092 pendakwaan telah dilakukan terhadap warga asing yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 1,342 kes melibatkan kesalahan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan kedua tertinggi ialah tiada dokumen perjalanan atau ‘kosong’ dengan 663 kes.

Manakala kesalahan melindungi pendatang tanpa izin mencatatkan 34 pendakwaan.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata kesalahan lain termasuk melanggar syarat pas dan memiliki dokumen perjalanan milik orang lain.

“Lain-lain kesalahan didakwa di mahkamah termasuk kepulangan haram,” katanya.

Pada tempoh sama, JIM Kuala Lumpur menahan 4,428 pendatang tanpa izin menerusi 701 operasi.

Tangkapan tertinggi membabitkan warganegara Indonesia sebanyak 1,288 orang.

Ia diikuti Bangladesh (944), Myanmar (878), Pakistan (431) dan India (164).

Warganegara lain yang ditahan termasuk dari Filipina, Kemboja, Nepal, Thailand, China dan Vietnam.

Wan Mohammed Saupee berkata pihaknya akan menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan.

Beliau berkata operasi itu bagi memastikan masalah pendatang tanpa izin di ibu negara terkawal.

“Pihak kami tidak berkompromi dengan warga asing yang melanggar peraturan negara,” tegasnya.

Beliau menambah warga tempatan yang melindungi pendatang tanpa izin juga akan dikenakan tindakan tegas di mahkamah.