Kes Warga Israel: Polis Tahan 4 Lagi Individu Di Johor

4 Apr 2024 • 3:31 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sekitar minggu lalu, Malaysia digemparkan dengan berita penahanan seorang warga Israel, Shalom Avitan, 38, bersama enam pucuk pistol dan 200 peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Selepas penahanannya pada 27 Mac, polis telah menahan sepasang suami isteri dan seorang lelaki warga tempatan yang didakwa mempunyai hubung kait dengan individu tersebut.

4 Individu Ditahan Di Skudai & Gelang Patah

Terkini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan empat lagi individu di Johor semalam (3 April) bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, empat individu ditangkap terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.

“Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun ditangkap di sekitar kawasan Skudai dan Gelang Patah. Siasatan masih dijalankan.”

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti hubung kait empat suspek tersebut dan peranan mereka dalam kes itu.

Sejumlah 8 Suspek Telah Ditahan

Tangkapan ini menjadikan jumlah tahanan bagi kes itu meningkat kepada lapan orang setakat ini, dengan lelaki Israel tersebut sebagai suspek utama.

Mengulas mengenai pasangan suami isteri yang ditahan reman selepas disyaki membekalkan senjata kepada warga Israel itu, Razarudin berkata pihaknya sedang dalam proses untuk memohon sambungan reman memandangkan ia akan tamat esok (5 April).

Pasangan tersebut sebelum ini telah ditahan pada jam 7.15 malam, 29 Mac lalu di bazar Ramadan di Kuala Selangor dan direman selama tujuh hari.

Pistol Disyaki Diperolehi Dari Negara Jiran

Mereka sebelum ini disyaki telah mendapatkan pistol dari negara jiran sebelum dijual kepada suspek utama. Pembayaran bagi pemilikan senjata itu dilakukan menggunakan mata wang kripto.

Dalam masa sama, pihak polis telah menahan seorang lelaki warganegara di Cameron Highlands, Pahang atas dakwaan menjadi pemandu kepada warga Israel itu sejak tiba di dalam negara pada 12 Mac lalu.

Pemandu Warga Israel Turut Ditahan

Polis turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang, yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.

Razarudin juga sebelum ini berkata warga Israel itu serta pasangan suami isteri bakal berdepan hukuman mati jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Source: