Kes Zahid: Rakyat perlukan penjelasan Peguam Negara - Ikram

Politics
5 Sep 2023 • 5:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Badlishah Sham Baharin

SHAH ALAM - Rakyat berhak diberikan penjelasan yang jelas dan tuntas daripada Jabatan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada kesemua 47 pertuduhan jenayah melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, setelah meneliti 11 alasan yang diberikan oleh pihak pendakwaan, pertubuhan itu percaya bahawa penjelasan lanjut adalah penting.

“Alasan bahawa siasatan yang menyeluruh dan lengkap perlu dilaksanakan terlebih dahulu dalam keadaan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Januari 2022 telah pun memutuskan wujudnya kes ‘prima facie’ adalah sangat membingungkan dan menimbulkan banyak persoalan.

“Hal ini berbeza sekiranya pertuduhan tersebut belum diputuskan sebagai ‘prima facie’ oleh mahkamah lagi.

“Ikram berasa bimbang sekiranya penarikan balik kesemua pertuduhan tersebut adalah bermotifkan politik, sekali gus menghakis kepercayaan rakyat terhadap integriti dan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memerangi rasuah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa semua kes terhadap Zahid diberhentikan.

Tambah Badlishah, Ikram juga mengambil berat peringatan daripada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang menegaskan berkenaan pembaziran masa mahkamah dan wang rakyat lebih-lebih lagi apabila seramai 99 orang saksi telah dipanggil oleh pihak pendakwaan dan 15 orang saksi telah dipanggil oleh pihak pembelaan.

“Ikram selanjutnya mendesak agar pihak Kerajaan Perpaduan meneruskan agenda reformasi untuk memisahkan Pejabat Pendakwa Raya Negara daripada Pejabat Peguam Negara, meletakkan Pejabat Pendakwa Raya dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) di bawah Parlimen.

“Ia bagi memastikannya bebas daripada pengaruh Eksekutif dan menggubal Akta Pendanaan Politik dengan kadar segera demi mengelakkan sebarang konflik berkepentingan pada masa hadapan,” katanya.