Kes Zahid: Rasuah Busters tuntut kerajaan kotakan kata

LocalPolitics
4 Sep 2023 • 11:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian.

KEPUTUSAN Mahkamah yang menetapkan bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi benar-benar mengecewakan dan amat membimbangkan.

Keputusan prima facie mahkamah yang dibuktikan oleh pendakwa sebelum ini seolah tidak bernilai dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah hilang peluangnya untuk membuktikan dirinya bersih dan tidak bersalah melalui keterangan dan bukti melalui kes pembelaan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Timbalan Perdana Menteri tersebut

Keputusan yang didasarkan kepada kuasa di bawah aturan 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan bukan melalui perbicaraan yang telah diputuskan mempunyai kes prima facie tersebut telah menimbulkan persoalan tentang komitmen yang sering dilaungkan oleh kerajaan dalam memerangi rasuah dan menegakkan keadilan

Tanpa sebarang penjelasan yang munasabah daripada AGC berkenaan permintaan pembebasan tanpa perlepasan tersebut, ia menimbulkan persepsi bahawa campur tangan eksekutif dan/atau politik membolehkan mana-mana pihak mengelak daripada dibicara dan dihakimi seadil-adilnya oleh mahkamah.

Lebih parah lagi duluan (precedent) ini menimbulkan keresahan rakyat terhadap keadilan sistem demokrasi di Malaysia kerana ia tidak membantu memulihkan kembali reputasi dan imej negara ini.

Justeru, ini adalah masa yang amat kritikal untuk pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwaraya dilaksanakan, kebebasan badan kehakiman hendaklah terjamin dan SPRM diletakkan di bawah Parlimen segera sepertimana gesaan oleh #RasuahBusters dan rakan gabungannya sebelum ini.

#RasuahBusters menegaskan bahawa tamadun yang ingin dibina oleh kerajaan Madani telah menekankan kompas moral dan etika sebagai teras bernegara. Dalam konteks tersebut memelihara kedaulatan undang-undang harus tanpa prejudis selari dengan etika yang dituntut oleh rakyat terhadap barisan kepimpinan kerajaan hari ini.

#RasuahBusters turut mendesak kerajaan agar serius untuk memastikan reformasi institusi ditunaikan dan fokus untuk memulihkan ekonomi negara serta tidak memanipulasi kuasa politik.

Advokasi jangka panjang #RasuahBusters akan diteruskan di mana rakyat tidak akan bertoleransi dengan ketidakadilan, dan akan terus berjuang untuk memutuskan rantaian sistemik rasuah dan memastikan kebebasan institusi di negara ini demi kesejahteraan dan mengangkat semula martabat Malaysia.

#RasuahBusters menuntut kerajaan untuk kotakan kata, pastikan keadilan mesti dilaksanakan dan dilihat terlaksana. Untuk kekal relevan, jangan khianati mandat. Hukuman rakyat akan jauh lebih berat.