
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada tahun lalu, masyarakat negara dikejutkan dengan beberapa insiden yang membabitkan pelajar di sekolah kebangsaan.
Salah satunya adalah kematian pelajar Tingkatan 1 Zara Qairina Mahathir akibat dakwaan dibuli ketika bersekolah di SMKA Tun Datu Mustapha, Papar.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengarahkan agar audit keselamatan dijalankan di semua sekolah, termasuk sekolah berasrama penuh.
Selain itu, satu lagi insiden yang membuka mata banyak pihak terhadap aspek keselamatan di sekolah ialah kes tikam pelajar Tingkatan 4 di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Baca Artikel Berkaitan: Tragedi Zara Qairina: KPM Arah Audit Keselamatan Di Semua Sekolah
Baca Artikel Berkaitan: Zara Qairina Dituduh Mencuri, Pelajar Senior Panggil & Soal Sehari Sebelum Ditemui Tidak Sedarkan Diri – Saksi
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Perempuan Tingkatan 4 Maut Ditikam Pelajar Lelaki Tingkatan 2 Di Sekolah Di Bandar Utama
Hanya 28% Sistem CCTV Sekolah Yang Berfungsi – Fadhlina
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyifatkan kedua-dua tragedi yang berlaku di institusi pendidikan itu sebagai satu titik penting bagi pelaksanaan reformasi keselamatan sekolah secara lebih menyeluruh.
Malah ia juga membuka mata terhadap kelemahan aspek keselamatan di sekolah, apabila hanya sekitar 28% sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipasang yang berfungsi.
“Berdasarkan dapatan audit keselamatan murid dan asrama 2025 oleh Jemaah Nazir melibatkan 850 buah sekolah seluruh negara, hanya 28.94% sekolah ini mempunyai sistem CCTV yang berfungsi.
“Kalau hanya 28% sahaja CCTV yang berfungsi, macam mana kita nak jawab kepada masyarakat dan yakinkan ibu bapa bahawa sekolah kita selamat?
“Audit Ini menunjukkan kita realiti sebenar yang perlu ditambah baik, satu panggilan jelas untuk kita bertindak,” ujar beliau ketika Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 hari ini.
333 CCTV Baharu Akan Dipasang, Perlukan Penyelenggaraan Berterusan Juga
Dalam pada itu, Fadhlina berkata pada tahun ini, sebanyak 333 CCTV baharu akan dipasang di sekolah terpilih.
“Penekanan bukan hanya pada pemasangan, tetapi penyelenggaraan berterusan supaya CCTV berfungsi dengan berkesan.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah sudah diarahkan memastikan semua CCTV berada dalam keadaan baik.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terbuka kepada kerjasama sektor swasta dan sokongan komuniti bagi menyelenggara kesemua sistem CCTV ini,” tambah Fadhlina dipetik Awani.
Sebelum ini, KPM mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta bagi tujuan pemasangan CCTV di sekolah terpilih di seluruh negara sebagai langkah mempertingkatkan keselamatan.
Ia melengkapkan peruntukan awal RM3 juta yang telah diumumkan sebelum ini untuk tujuan pemasangan kamera di 200 asrama sekolah seperti yang diumumkan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Polisi Perlindungan Murid Bakal Dilaksanakan Tahun Ini
Di samping itu, KPM juga bakal melaksanakan Polisi Perlindungan Murid yang merangkumi penglibatan pihak pengurusan sekolah, guru, ibu bapa dan agensi keselamatan di semua sekolah bermula tahun ini. Ini merupakan salah satu antara lima teras utama dalam reformasi keselamatan sekolah.
Malah, Garis Panduan Sekolah Selamat turut diperkukuhkan menerusi kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) serta komuniti setempat.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata keselamatan murid tidak sewajarnya dilihat dari sudut teknikal semata-mata, tetapi perlu dilakukan menerusi pendekatan secara manusiawi dan menjadi tanggungjawab bersama.
“Ini bukan sekadar tentang peraturan atau infrastruktur, tetapi soal kepercayaan. Sekolah mesti menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Sekadar info, reformasi keselamatan sekolah memberi fokus kepada lima teras utama iaitu:
- Kesihatan mental
- Pendidikan reproduktif dan sosial
- Kebajikan guru
- Suara murid
- Polisi Perlindungan Murid
Baca Artikel Berkaitan: Murid Pindah Sekolah Perlu Lampir Laporan Penuh Kesihatan & Disiplin
