
PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Usaha mencari kebenaran dan menegakkan keadilan dalam kes kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
Sebaliknya, tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ia mesti berpandukan lunas undang-undang.
“Yang di sini kita yang menganjurkan siri demonstrasi nak cari apa? Nak cari kebenaran. Nak tegakkan keadilan. Jadi apa cara? Mesti mengikut lunas hukum dan undang-undang,” katanya pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan KDN, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, kebenaran tidak boleh diperoleh dengan menelan bulat-bulat teori yang dikemukakan mana-mana pihak termasuk naratif di media sosial.
“Kami (polis) tidak menangkap seorang individu yang kononnya sebagai doktor patalogi dan seorang guru yang membuat teori kata Zara dibunuh, didera menggunakan mesin basuh," katanya.
Tegas Saifuddin, kebenaran dan keadilan hanya boleh ditegakkan melalui siasatan sah mengikut undang-undang.
“Kebenaran dan keadilan tak boleh cara itu. Kebenaran dan keadilan mesti melalui proses siasatan undang-undang. Siapa yang paling berkuasa untuk buat siasatan undang-undang? Polis. Dan itulah yang kita buat,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 195 keterangan saksi telah diambil bagi memastikan siasatan benar-benar lengkap dan menyeluruh.
“Ya tentunya kita mengambil sedikit masa untuk betul-betul kemas kini dan itulah kita serahkan pada hari Isnin lepas yang membawa kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudiannya membuat pengumuman.
"Itu proses yang saya maksudkan bahawa polis bertindak mesti mengikut lunas undang-undang untuk tujuan mencari kebenaran dan keadilan,” katanya.
Zara Qairina,13, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Dia kemudiannya meninggal dunia pada 17 Julai sehari selepas itu.
Kematian Zara Qairina mencetuskan fenomena dan tanda pagar #JusticeforZaraQairina sekali gus memberi tekanan terhadap KPM dan pihak berkuasa susulan pendedahan daripada individu yang mendakwa sebagai ahli keluarga mangsa di Facebook menjadi tular.
Lagi artikel berkaitan:
