Kes Zara Qairina: Pasukan Peguam Cadang AGC Dakwa Individu Terbabit Buli

LocalPolitics
14 Aug 2025 • 10:35 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pasukan peguam yang mewakili ibu kepada Zara Qairina Mahathir, iaitu Noraidah Lamat mencadang Jabatan Peguam Negara (AGC) mengambil tindakan mendakwa mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan buli, seperti dinyatakan dalam keterangan berkaitan kes kematian remaja tersebut.

Cadang AGC dakwa individu terbabit buli

Menurut laporan Sinar Harian, pasukan peguam itu menjelaskan, cadangan berkenaan dikemukakan selepas sidang media pada Rabu oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar yang menyentuh mengenai kes kematian Zara Qairina.

image is not available

“Antara pendedahan penting yang dibuat oleh beliau ialah hasil siasatan Pasukan Petugas Khas JSJ Bukit Aman, wujud keterangan-keterangan yang menjurus ke arah buli sebelum kejadian menimpa Zara.

“Jika keterangan-keterangan di atas boleh dipercayai di mahkamah, kami mencadangkan kepada AGC agar mendakwa individu atau individu-individu di dalam keterangan-keterangan tersebut yang melakukan buli di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan,” katanya pada Khamis.

Menurut pasukan peguam itu, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, ataupun kedua-duanya sekali.

image is not available

“Apabila langkah ini diambil, inkues tidak perlu lagi diadakan. Namun, sekiranya keterangan-keterangan di atas tidak kuat atau tidak mencukupi bagi membentuk satu kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, siasatan lanjut perlu diteruskan bagi memperkuatkan keterangan-keterangan tersebut.

“Dalam keadaan ini, inkues perlu diadakan serentak dengan penyiasatan lanjut tadi dan pendakwaan boleh dilakukan kemudian,” ujarnya.

Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh barisan peguam iaitu Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Sumber: Sinar Harian (Asyikin Asmin)