Kes Zara Qairina: Peguam keluarga tidak tahu identiti individu bakal didakwa

LocalPolitics
18 Aug 2025 • 11:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seramai lima remaja perempuan akan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu ini atas pertuduhan membuli Zara Qairina dengan mengugut melalui komunikasi.

KOTA KINABALU – Pasukan peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir memaklumkan mereka masih tidak mengetahui identiti individu yang bakal didakwa di Mahkamah Kota Kinabalu pada Rabu ini.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin, mereka merujuk kepada pengumuman Peguam Negara mengenai keputusan untuk mendakwa suspek-suspek yang terlibat dalam kes buli membabitkan Zara Qairina.

“Setakat kenyataan media ini dikeluarkan, kami tidak mengetahui identiti individu-individu yang akan didakwa di mahkamah dan peruntukan undang-undang yang digunakan dalam pertuduhan nanti,” menurut kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, pasukan peguam menyambut baik keputusan yang diumumkan Peguam Negara kerana ia selaras dengan cadangan mereka kepada Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan media pada 14 Ogos lalu.

“Memandangkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah mendedahkan bahawa wujud keterangan yang menjurus ke arah buli sebelum kejadian menimpa Zara, maka pendakwaan mesti dilakukan terhadap individu-individu dalam keterangan tersebut di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

“Kami berharap pendakwaan terhadap individu yang terlibat dikaitkan dengan kematian Zara Qairina dibuat di bawah peruntukan tersebut bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan sekiranya berlaku sabitan,” tegas mereka

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh peguam Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

 

Lagi artikel berkaitan: