Kes Zayn Rayyan: Ibu Bapa Kemuka Representasi, Minta Tarik Pertuduhan

LocalPolitics
29 Nov 2024 • 3:18 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam usaha untuk menggugurkan pertuduhan terhadap mereka.

Memetik laporan Bernama, Peguam Fahmi Abd Moin, yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf berkata, representasi tersebut dihantar pada 19 November untuk pertimbangan AGC bagi menarik balik atau menggugurkan pertuduhan terhadap kedua-dua mereka.

image is not available

Foto: Malaysia Tribune

Fahmi juga memaklumkan bahawa Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan 6 Disember sebagai tarikh sebutan untuk status representasi tersebut di hadapan hakim Dr Syahliza Warnoh.

Perbicaraan kes dijadualkan selama 15 hari bermula Januari tahun depan. Tarikh perbicaraan adalah dari 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari 2025.

Pada 13 Jun lalu, pasangan tersebut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama kerana cuai terhadap kanak-kanak itu, yang berada di bawah penjagaan mereka dengan cara yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa.

image is not available

Foto: Kosmo Online!

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Damansara Damai, Petaling Jaya dari tengah hari pada 5 Disember sehingga pukul 9.55 malam keesokan harinya.

Pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1), membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di sebuah aliran sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada leher dan tubuh mangsa.

Sumber: Bernama