Kesakitan bukan halangan buat Nor Azam

Football
19 Sep 2022 • 7:20 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PETALING JAYA: Nor Azam Azih (gambar) tidak patah semangat untuk beraksi buat skuad Harimau Malaya di Kejohanan Piala Raja Thailand minggu depan walaupun masih mengalami kesakitan di bahagian buku lali kanan.

Pemain tengah Sri Pahang FC itu berkata, walaupun corak permainannya yang dulu sudah tidak sama asbab kesakitan di lutut tetapi beliau tetap mencuba pelbagai cara untuk mengatasinya.

“Untuk saya mengatasi ketidakselesaan kesakitan itu, saya akan mengambil pil tahan sakit pada permulaan permainan untuk memberi saya keyakinan di padang bola,” katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM di sini hari ini.

Nor Azam juga berkata, beliau mendapat keyakinan tambahan pada panggilan kali ini, dengan kehadiran dua pemain tengah berpengalaman, iaitu Brendan Gan dari Selangor FC dan Nazmi Faiz Mansor dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Saya dah selalu main dengan mereka. Insya-Allah dengan gandingan ini, kalau kami bermain bersama akan lebih baik,” katanya lagi.

Beliau percaya dengan kelebihan Brendan untuk membantu bahagian pertahanan namun berjanji bahawa kesemua perancang tengah akan menampilkan aksi terbaik di Chiang Mai.

Sementara itu, pemain pertahanan Dominic Tan optimis dengan keupayaan skuad negara walaupun Mohd Shahrul Saad terpaksa diketepikan kerana isu kecergasan.

“Untuk saya memang kita ada pemain berbakat di sini tetapi kalau saya berpeluang untuk beraksi, saya akan buat yang terbaik.

“Kami bermain sebagai satu pasukan, sesiapa yang tidak terpilih untuk kesebelasan utama tetap akan berikan sokongan kerana barisan pemain kebangsaan semuanya hebat,” katanya.

Malaysia yang berada di ranking ke-148 dunia diundi untuk menentang Thailand (111) pada 22 Sept (Khamis), manakala Trinidad & Tobago (101) akan berhadapan dengan Tajikistan (109).

Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan bertemu di peringkat final pada 25 Sept manakala pasukan yang kalah akan berentap untuk merebut tempat ketiga.-Bernama