
Kota Kinabalu: Seorang lelaki dari China didenda RM3,000 atau dipenjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara haram.
Tan Liu Feng mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain, atas pertuduhan dihadapinya.
Tan ditahan pada jam 11.20 malam, 19 Februari tahun ini, di Kaunter 2, Balai Transborder, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda maksimum RM10,000, serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa mitigasinya, Tan memohon agar hanya dikenakan denda kerana ingin pulang ke negara asalnya secepat mungkin.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Imigresen, Yolanda Ismail Uvaraj, meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas Tan.
Tan membayar denda tersebut.
Sementara itu, seorang warga Filipina dipenjara 10 bulan kerana memasuki negeri ini secara haram dan kembali semula tanpa sebarang dokumen. Rosli Karim mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan dihadapinya.
Bagi pertuduhan pertama, dia dihukum penjara empat bulan dan Rosli ditahan pada jam 8.45 malam, 18 Februari tahun ini, di gerai Satay Sedap Jony, Sadong Jaya, Jalan Sembulan.
Bagi pertuduhan kedua, Rosli dipenjara enam bulan kerana memasuki semula negeri ini secara haram selepas dihantar pulang ke negara asalnya.
Mahkamah memerintahkan Rosli menjalani hukuman penjara secara berturut-turut dari tarikh tangkapannya.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Rosli ditahan oleh anggota Imigresen selepas gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri semasa serbuan di kawasan terbabit.
Selepas selesai menjalani hukuman, Rosli diperintah dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
