KENAIKAN mendadak harga plastik dan polimer sedang memberi kesan meluas terhadap keseluruhan ekosistem pembuatan khususnya di Malaysia disebabkan industri plastik tempatan amat bergantung kepada resin petrokimia yang sebahagian besarnya diperoleh dari Timur Tengah.
Plastik merangkumi kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan penggunaan pembungkusan sekali gus menjadikannya komponen kos yang kritikal merentasi sektor makanan, barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), penjagaan kesihatan dan barangan industri.
Sehubungan itu, gangguan bekalan yang berlaku ini secara langsung meningkatkan kos pengeluaran dan pembungkusan yang akhirnya akan menyebabkan harga kepada pengguna turut meningkat.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata, sejak konflik Amerika Syarikat-Iran memuncak, harga resin utama seperti polietilena (PE), polipropilena (PP) dan Polyethylene Terephthalate (PET) melonjak antara 30 hingga 70 peratus dalam tempoh singkat susulan aliran bekalan yang terhad melalui Selat Hormuz, laluan utama bagi hampir separuh bekalan nafta Asia.
Tambah beliau, kenaikan itu mula memberi kesan sepanjang rantaian nilai apabila kos pembungkusan, logistik dan barangan siap turut meningkat sekali gus memberi tekanan ke atas inflasi keseluruhan.
“Bagi pengilang khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang beroperasi dengan margin keuntungan tipis sekitar lima hingga 10 peratus, kesannya amat ketara.
“Ramai yang tidak mampu memindahkan sepenuhnya kenaikan kos itu kepada pengguna menyebabkan pelarasan pengeluaran, penangguhan pelan pengembangan serta kekangan modal kerja,” katanya kepada Sinar Bisnes.
Ujarnya lagi, laporan mengenai penurunan tempahan antara 20 hingga 30 peratus dalam beberapa kluster turut mencerminkan permintaan yang semakin lemah apabila pengguna akhir menangguhkan pembelian susulan kenaikan harga.
Kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai plastik turut meningkatkan lagi pendedahan negara terhadap situasi ini.
“Walaupun negara mengeksport beberapa jenis resin seperti polipropilena (PP) dengan kadar eksport dan import yang secara umumnya seimbang, Malaysia masih merupakan pengimport bersih bagi beberapa gred utama polietilena (PE), khususnya High-Density Polyethylene (HDPE) dan Linear Low-Density Polyethylene (LLDPE) yang digunakan secara meluas dalam pembungkusan.
“Keadaan ini mencerminkan permintaan domestik yang tinggi serta kebergantungan berterusan terhadap bahan mentah import,” katanya.
Pada masa sama, FMM turut menegaskan bahawa perkembangan ini menyerlahkan kelemahan struktur bagi Malaysia dan rantau ini iaitu kebergantungan yang tinggi terhadap bahan mentah dan resin import.
Jacob Lee menegaskan, pada masa depan, terdapat keperluan mendesak untuk mengurangkan pergantungan kepada laluan bekalan luar tunggal serta menggalakkan penggunaan resin keluaran tempatan sekiranya tersedia.
Selain itu katanya, gangguan semasa ini seharusnya menjadi pemangkin kepada inovasi merentasi rantaian nilai plastik dan pembuatan.
Ini termasuk mempercepat penggunaan bahan kitar semula, memajukan inisiatif ekonomi kitaran, meningkatkan kecekapan bahan menerusi pendekatan ringan bahan (light-weighting) serta melabur dalam penyelesaian pembungkusan alternatif.
“Syarikat yang proaktif mempelbagaikan sumber bekalan, melabur dalam rantaian bekalan tempatan serta berinovasi dalam bahan dan reka bentuk akan berada pada kedudukan lebih baik untuk mengurus ketidaktentuan, kekal berdaya saing dan mengurangkan kesan kepada pengguna dalam jangka masa panjang,” katanya.
Tekanan inflasi senyap
Sementara itu, Timbalan Dekan (Pembangunan) Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Dr Goh Lim Thye melihat kenaikan harga plastik dan polimer ini sebagai tekanan inflasi yang senyap tetapi kesannya boleh meluas kepada barang harian rakyat.
Menurut beliau, ini kerana plastik bukan lagi bahan sampingan tetapi komponen utama dalam sistem pembungkusan moden.
Data industri menunjukkan sektor pembungkusan mewakili sekitar 45 peratus hingga 46 peratus daripada keseluruhan penggunaan plastik di Malaysia.
“Malaysia juga menggunakan kira-kira 1.7 juta tan resin utama setahun melibatkan bahan seperti PP, PE, HDPE dan PET yang digunakan secara meluas dalam makanan, minuman dan FMCG.
“Apa yang membimbangkan ialah harga resin global meningkat dengan sangat ketara dalam tempoh singkat. Pada separuh kedua 2025, harga resin sebenarnya agak lemah dan menurun sekitar 10 hingga 15 peratus tahun ke tahun.
“Namun memasuki 2026, keadaan berubah secara mendadak akibat gangguan bekalan dan ketegangan di Asia Barat,” katanya.
Beliau memberi contoh, harga PET di Malaysia dilaporkan meningkat sehingga 40 peratus pada 2026 manakala beberapa jenis resin di Asia Tenggara melonjak antara 66 hingga 72 peratus sejak konflik Asia Barat bermula.
Malah Persatuan Pengilang Plastik Malaysia turut memaklumkan harga resin meningkat daripada sekitar AS$800 ke AS$900 satu tan kepada melebihi AS$1,500 satu tan, malah sesetengah gred melebihi AS$2,000 satu tan.
“Kesan ini penting kerana banyak produk harian rakyat Malaysia sangat bergantung kepada pembungkusan plastik seperti air mineral dan minuman botol, minyak masak, mee segera, roti dan makanan proses serta produk FMCG seperti syampu, sabun pencuci dan susu formula.
“Malah bagi industri minuman, kos pembungkusan boleh menyumbang sekitar 30 hingga 40 peratus daripada kos produk tertentu,” katanya.
Jadi walaupun pengguna mungkin tidak nampak kenaikan mendadak sekaligus, kos tambahan ini biasanya dipindahkan secara berperingkat melalui kenaikan harga runcit, pengurangan saiz produk (shrinkflation) atau caj logistik yang lebih tinggi.
Lim Thye turut mengakui, kenaikan harga plastik dan polimer boleh mencetuskan kesan berantai kepada hampir semua sektor ekonomi memandangkan plastik ialah input asas ekonomi moden.
Ia bukan hanya digunakan dalam makanan dan minuman tetapi juga dalam elektronik, automotif, logistik,farmaseutikal, pertanian, e-dagang dan sektor kesihatan.
Apabila harga resin meningkat, kesannya berlaku secara serentak kepada kos pembungkusan, penyimpanan, penghantaran dan pengeluaran.
“Sebagai contoh, pasaran plastik Malaysia sendiri dianggarkan berkembang daripada AS$4.04 bilion pada 2025 kepada AS$4.19 bilion pada 2026, menunjukkan betapa besarnya pergantungan industri negara terhadap bahan ini.
“Malah pembungkusan kekal sebagai segmen terbesar penggunaan plastik negara dengan pegangan pasaran sekitar 45.56 peratus pada 2025.
“Ini bermaksud sebarang kejutan harga resin mempunyai kesan yang besar kepada keseluruhan ekonomi,” katanya.





