Kesan Tarif Trump diramal berkurangan bagi jangka panjang kesan daya tahan ekonomi ASEAN - Xinhua

14/05/2025 - 10:01
KUALA LUMPUR 14 Mei - Tarif unilateral yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilihat memberi kesan jangkan pendek bagi negara-negara ASEAN yang bergantung kepada eksport tetapi kesan itu diramal berkurangan dari semasa ke semasa memandangkan ketahanan ekonomi rantau itu, kata penganalisis.
“Kesan serta-merta daripada tarif ini ialah kenaikan harga, yang seterusnya membawa kepada penurunan permintaan terhadap kebanyakan barangan, sekali gus menyebabkan penurunan dalam eksport dari ekonomi Asia.
“Yang lebih membimbangkan ialah ketidaktentuan dasar yang meningkat, yang mengakibatkan sikap mengelak risiko dan kehilangan keyakinan pelabur serta pengguna, sekali gus membawa kepada pengurangan perbelanjaan perniagaan dan pengguna dan akhirnya pengecutan ekonomi dalam dunia ekonomi global,” kata Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Yeah Kim Leng dalam satu temu bual dengan Xinhua.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah Universiti Malaya, Profesor Roy Anthony Rogers berkata, tarif itu akan membawa kepada gangguan rantaian bekalan dan perdagangan dalam jangka pendek.
“Disebabkan kita hidup dalam ekonomi global, tindakan sebegini akan mencetuskan kesan domino disebabkan kebergantungan rantaian bekalan dan kaitan aliran modal,” katanya.
Kim Leng juga menyatakan, ekonomi ASEAN bergantung kepada industri berasaskan eksport yang melibatkan pelaburan modal yang besar dan tahap keberhutangan yang tinggi, serta projek infrastruktur berskala besar dengan pinjaman asing yang besar, menjadikan mereka amat terdedah kepada “gabungan risiko tarif dan kewangan”.
“Industri semikonduktor dan teknologi tinggi, termasuk pusat data, terdedah kepada sekatan eksport cip canggih oleh AS. Elektronik berteknologi tinggi dan rantaian bekalannya juga berisiko akibat tekanan pentadbiran Trump untuk membawa semula pengeluaran ke AS (reshoring), manakala produk lain pula berdepan tarif tinggi yang boleh menyebabkan ia tidak dapat diperdagangkan atau tidak kompetitif, terutamanya jika negara pengeksport lain berjaya merundingkan kadar tarif yang lebih rendah,” katanya.
Beliau turut memerhatikan sektor solar fotovoltaik (PV) di Malaysia sudah mula menerima kesan.
Namun, pada akhirnya, tarif ini akan melemahkan kedudukan ekonomi AS sendiri, apabila negara-negara ASEAN dan seluruh dunia berlumba-lumba untuk mengurangkan risiko, mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS, dan membina daya tahan terhadap gangguan ekonomi yang berpunca daripada AS — satu perkembangan yang tidak akan memihak kepada negara itu dalam jangka panjang.
“Ketidakstabilan pasaran kewangan juga telah meningkat dengan ketara, dengan pasaran saham dan bon AS mengalami kerugian teruk akibat jangkaan kesan negatif tarif terhadap ekonomi AS dan global, inflasi yang lebih tinggi, dan peralihan daripada aset berdenominasi dolar AS.
“Jika konflik tarif ini tidak reda, AS boleh menjadi ‘pusat gempa’ kepada satu krisis kewangan serantau, yang turut boleh melanda negara-negara yang mempunyai tahap hutang tinggi dan terdedah kepada pengaliran keluar modal,” katanya.
Kim Leng juga menegaskan, Krisis Kewangan Asia 1997-1998 adalah tidak mungkin berlaku, disebabkan kebergantungan yang berkurangan kepada pinjaman asing, daya tahan fiskal yang lebih kukuh hasil daripada imbangan fiskal yang bertambah baik, serta tahap hutang kerajaan yang rendah hingga sederhana.
“Tambahan pula, hubungan perdagangan dan pelaburan dengan China telah meningkat dengan ketara sejak beberapa dekad lalu, yang boleh memberikan perlindungan sebahagian kepada negara-negara ini daripada kejutan ekonomi atau kewangan dari AS,” katanya. - DagangNews.com
featured standard


