
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sewaktu sesi pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 September yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan inisiatif yang bakal meringankan beban bakal jemaah haji.
Antaranya adalah pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP) yang telah ditingkat daripada RM3,000 menjadi RM10,000 bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.
Manakala buat penjawat awam, kemudahan pengeluaran awal Gantian Cuti Rehat (GCR) diperluaskan sehingga RM10,000 dengan peruntukan RM10 juta.
Mahu Kerajaan Teliti Semula Kaedah Tebusan GCR Bagi Ibadah Haji
Terbaharu, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menggesa kerajaan untuk meneliti semua kaedah tebusan GCR bagi tujuan ibadah haji.
Ini kerana mereka mendakwa ada sebahagian guru tidak dapat memaksimumkan sepenuhnya nilai GCR yang dikumpul sepanjang tempoh perkhidmatan.
Menurut Presiden KGMBB, Mohd Sobri Yusof, kerajaan perlu menilai semula mekanisme sedia ada supaya lebih adil dan fleksibel agar golongan pendidik tidak mengalami kerugian khususnya dari nilai tebusan yang layak diterima.
Ada Guru Tidak Dapat Tebus Nilai GCR Yang Tinggi
Jelas Sobri, ada keadaan di mana guru yang mempunyai jumlah GCR yang tinggi namun tidak dapat menebus keseluruhan nilai tersebut susulan had maksimum tebusan yang telah ditetapkan.
“Sebagai contoh, sekiranya seseorang guru mempunyai nilai GCR mencecah RM17,000 tetapi had tebusan hanya RM10,000, baki selebihnya tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Keadaan ini menyebabkan sebahagian nilai GCR yang dikumpul hasil perkhidmatan bertahun-tahun dalam sektor awam berpotensi tidak dapat digunakan,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Kesatuan Guru Dah Kemuka Cadangan Rasmi, Mahu Pelaksanaan Inisiatif Diperkemas
Tambahnya lagi, KGMMB telah mengemukakan cadangan rasmi kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mekanisme tersebut ditambah baik selaras dengan kos semasa menunaikan ibadah haji.
Jelas Sobri, kemudahan tebusan itu merupakan inisiatif yang baik dalam membantu penjawat awam menunaikan rukun Islam kelima, namun pelaksanaannya perlu diperkemas agar manfaat dapat dinikmati sepenuhnya oleh golongan berkenaan.
“Kesatuan mahu kebajikan guru terus diperkasakan memandangkan golongan pendidik memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan negara,” katanya.
Pada masa yang sama, KGMMBB berharap agar kerajaan khususnya pihak KPM memberi perhatian serius agar kemudahan yang disediakan boleh memberi manfaat kepada golongan pendidik di negara ini.
Baca Artikel Berkaitan: TH Bimbang 50% Pendeposit Tolak Tawaran Haji Kerana Masalah Kewangan
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Tak Benarkan Pencarum Keluarkan Wang Dari Akaun Persaraan Untuk Ibadah Haji
