Kesatuan sekerja tertua negara MTUC kena bubar serta-merta

LocalPolitics
7 May 2026 • 7:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kesatuan sekerja tertua negara MTUC kena bubar serta-merta
MTUC merupakan organisasi kesatuan sekerja tertua di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1949 dan didaftarkan di bawah Akta Kemasyarakatan, 1955.

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menjadi suara utama pekerja negara sejak 77 tahun lalu terbubar sementara berkuat kuasa serta-merta pada Khamis susulan perintah yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Menerusi satu surat yang dilihat Sinar Harian, RoS berkata, tindakan mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 itu diambil selepas MTUC didakwa gagal mengemukakan sebahagian dokumen dan maklumat yang diminta RoS dalam tempoh ditetapkan.

Menurut surat yang ditandatangani Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Nurul Azhar Husin itu, RoS pada 6 April lalu mengarahkan MTUC menyerahkan beberapa dokumen berkaitan pengurusan dan kewangan pertubuhan bagi tempoh 2020 hingga 2025 dalam masa 30 hari.

Antara maklumat diminta termasuk alamat berdaftar pertubuhan, jumlah anggota, senarai pemegang jawatan, minit mesyuarat persidangan perwakilan, penyata kewangan yang telah diaudit serta senarai pertubuhan luar negara yang mempunyai hubungan dengan MTUC.

Bagaimanapun, MTUC didakwa gagal mengemukakan salinan dokumen berkaitan penyata penerimaan dan pembayaran serta kunci kira-kira yang telah diaudit.

Kogres itu juga didakwa tidak menghantar salinan senarai perihal kewangan apa-apa wang atau harta ataufaedah atau keuntungan yang diterima mereka daripada mana-mana orang yang lazimnya bermastautin di luar negara atau suatu organisasi, pihak berkuasa, kerajaan agensi kerajaan di luar Malaysia.

“Bahawasanya MTUC telah tidak menghantar maklumat-maklumat (yang diminta). Dengan ini diperintahkan bagi sementara supaya pendaftaran pertubuhan yang namanya tersebut di atas (MTUC) dibubarkan mulai dari tarikh perintah ini,” kata surat berkenaan.

Surat itu turut memaklumkan bahawa sekiranya tiada rayuan dibuat dalam tempoh 30 hari atau rayuan ditolak Menteri Dalam Negeri, perintah sementara tersebut akan menjadi mutlak dan pertubuhan berkenaan disifatkan sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang.

RoS menegaskan, mana-mana individu yang mengurus atau membantu pengurusan pertubuhan yang dibatalkan pendaftarannya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM15,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, MTUC masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan itu.

Surat tersebut dihantar kepada Setiausaha MTUC dan salinannya turut dihantar kepada Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor dan Bendaharinya, Bindu Girdharlal Patel.

MTUC merupakan organisasi kesatuan sekerja tertua di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1949 dan didaftarkan di bawah Akta Kemasyarakatan, 1955.

Kongres berkenaan menjadi badan yang mewakili pekerja terutamanya ketika darurat pertama diisytiharkan, di mana pekerja memerlukan organisasi untuk menyuarakan dan melindungi kepentingan mereka.

Sehingga kini, MTUC memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak pekerja termasuk isu gaji minimum, perlindungan sosial, keselamatan pekerjaan dan kebajikan buruh.

Sepanjang lebih tujuh dekad, badan induk itu diterajui beberapa tokoh kesatuan sekerja dan menjadi suara utama dalam rundingan melibatkan dasar buruh antara kerajaan, majikan dan pekerja.

Presiden pertama MTUC ialah PP Narayanan yang juga menjadi tokoh penting dalam perjuangan hak pekerja Malaysia dan diiktiraf sebagai ‘Bapa Pekerja Malaysia’ pada 1986 selain menjadi pengasas Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW).

Bagaimanapun, MTUC turut beberapa kali berdepan kemelut dalaman termasuk pertikaian kepimpinan, isu pentadbiran dan perbalahan berhubung hala tuju organisasi terutama dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 18 Disember 2007, pemilihan jawatan dalam MTUC bagi penggal 2008-2010 bagi jawatan Setiausaha Agung MTUC dilapor menyalahi Peraturan 6(6) Perlembagaan MTUC sebelum pada 29 Mei 2008, MTUC memfail saman pemula di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi memohon pengisytiharan bahawa keputusan pengundian bagi jawatan MTUC penggal itu adalah tidak sah dan terbatal.

Pada 2023, kongres itu juga menjadi perhatian selepas timbul pertikaian melibatkan kepimpinan tertinggi serta isu berkaitan pengurusan organisasi.

Ketika itu MTUC memperoleh perintah penangguhan sementara bersyarat yang mengehadkan ahli jawatankuasa semasa kepada hanya menjalankan urusan pentadbiran harian.

Selain itu, MTUC juga dihalang daripada membuat keputusan dasar bagi pihak kongres selain mahkamah memerintahkan pegawai kongres berkenaan supaya tidak menjalankan sebarang pemilihan baharu.