
PUCHONG - Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki mandi manda di sebuah kolam renang berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui lemas pagi semalam.
Insiden berkenaan dilaporkan berlaku di Tasik Residensi di sini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11.30 pagi, apabila mangsa memasuki kawasan kolam renang dewasa tanpa disedari ahli keluarga atau ditemani individu lebih dewasa.
Menurut beliau, kanak-kanak malang itu dan keluarganya berada di lokasi kejadian bagi menziarahi saudara.
“Sehari sebelum kejadian, mereka sekeluarga meluangkan masa untuk mandi manda di kolam renang terbabit.
“Mangsa dan keluarganya berasal dari Kampung Beserah di Kuantan, Pahang,” katanya.
Getaran difahamkan, laporan polis berhubung kejadian dibuat pada jam 2.40 petang dari Hospital Sultan Idris Shah di Serdang.
Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat dimasukkan ke hospital.
Norhizam memberitahu, laporan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 membabitkan pengabaian kanak-kanak atau mendedahkan anak kepada bahaya.
“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. - Getaran, 11 Februari 2025


