Kestabilan politik amat penting tarik pelaburan, pastikan ekonomi terus berkembang - PM

PoliticsBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 2:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kestabilan politik amat penting tarik pelaburan, pastikan ekonomi terus berkembang - PM
Anwar (tengah) ketika sesi libat urus bersama wakil kerajaan dan agensi bukan kerajaan di Kementerian Kewangan pada Selasa. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kestabilan politik amat penting dalam memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang diyakini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelabur memerlukan keyakinan terhadap kestabilan sesebuah negara sebelum membuat keputusan untuk melabur, selain mengambil kira kekuatan dan prospek ekonomi negara berkenaan.

"Bagi saya, kestabilan politik itu sangat penting bagi negara kita. Orang tidak akan melabur kalau politik itu tidak stabil," katanya ketika berucap pada majlis penutupan sesi libat urus Belanjawan 2027 di sini pada Selasa.

Anwar berkata, atas pertimbangan itu, beliau memilih untuk memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara bagi membolehkan ekonomi terus berkembang.

Beliau berkata, pendekatan keseimbangan antara politik dan ekonomi ada kalanya memerlukan kompromi, namun ia menyebabkan keterbatasan terhadap ruang kerajaan dalam melaksanakan sesuatu dasar.

"Sebab itu orang sergah saya kerana nampak kompromi. Tapi saya ada pilihan. Bertempur, ekonomi menjunam. Kompromi akan memberi keterbatasan tentang langkah-langkah diambil. Itu antara dua keputusan yang harus dibuat.

"Maka saya memilih untuk menjaga supaya politik itu stabil dan ekonomi berkembang,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pertumbuhan ekonomi yang kukuh akan memberi ruang kepada kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan dan peruntukan bagi memenuhi keperluan rakyat.

Beliau berkata, kekuatan asas ekonomi negara ketika ini membolehkan kerajaan berada dalam kedudukan lebih selesa untuk mempertimbangkan tambahan peruntukan, namun setiap permintaan perlu dilihat dalam kerangka makro dan mengambil kira kekangan kewangan negara.

Mengenai sesi libat urus Belanjawan 2027, Anwar berkata, ia penting bagi membolehkan kerajaan mendengar pandangan pelbagai pihak, termasuk sektor perniagaan, perdagangan, dewan perniagaan dan institusi perbankan yang turut memainkan peranan dalam meningkatkan keyakinan serta keupayaan ekonomi negara.

Beliau berkata, meskipun beberapa sektor seperti kecerdasan buatan (AI) dan digital menunjukkan perkembangan, masih terdapat sektor serta perusahaan kecil dan sederhana yang berdepan cabaran dan memerlukan perhatian kerajaan. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved