
GEORGE TOWN: Kestabilan politik dalam negara amat diperlukan agar kerajaan Persekutuan boleh terus mengembangkan inisiatif sains, teknologi dan inovasi (STI) di setiap negeri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata terdapat banyak ruang untuk kerjasama antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya dari aspek perkembangan STI.
“Saya yakin kerajaan Perpaduan boleh dibentuk di Pulau Pinang dan juga di beberapa negeri lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Di sini khususnya, saya melihat banyak ruang untuk kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
“Ini adalah kerana pembangunan STI di Pulau Pinang sangat maju ke hadapan, jadi saya harap hubungan ini boleh dieratkan lagi,“ katanya kepada wartawan selepas sesi walkabout bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kebun Bunga Lee Boon Heng (PH-PKR) di sini hari ini.
Tambahnya, pihak kementerian juga telah menjalinkan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mencari penyelesaian bagi menarik minat anak muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Katanya ketiga-tiga kementerian ini telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi tujuan demikian, selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita sudah tubuhkan jawatankuasa ini dan ia sudah mencapai peringkat jawatankuasa kerja, namun, apa yang lebih penting adalah kestabilan politik supaya inisiatif boleh dijalankan dengan baik dan mencapai matlamat,“ katanya. - Bernama


