
KUALA LUMPUR — Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperkukuh pembangunan bakat masa depan negara, selaras dengan dapatan laporan Bank Dunia yang menekankan aspek produktiviti dan pembangunan bakat dalam agenda pekerjaan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata kerjasama itu meliputi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai laluan kerjaya masa depan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), digital, kecerdasan buatan (AI) serta sektor berkemahiran tinggi.
“Aspek pendedahan awal ini dilaksanakan agar pelajar dapat membuat pilihan pendidikan dan kerjaya yang lebih bermaklumat sebelum memasuki pasaran kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kesuma akan terus bekerjasama merentas kementerian bersama agensi di bawahnya serta rakan strategik industri bagi memastikan pembangunan kemahiran, latihan dan intervensi bakat dilaksanakan secara lebih berfokus, responsif dan berpaksikan hasil. Ini termasuk usaha meningkatkan padanan pekerjaan menerusi MyFutureJobs, memperkukuh kebolehpasaran bakat tempatan serta membantu lebih ramai rakyat Malaysia mengakses pekerjaan bernilai tinggi dan berpendapatan lebih baik,” jelasnya.
Ramanan berkata Kesuma mengambil maklum dapatan laporan Malaysia Economic Monitor April 2026 oleh Bank Dunia bertajuk “Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda”.
Laporan itu menekankan bahawa agenda pekerjaan negara perlu dipacu oleh produktiviti, pembangunan bakat dan penciptaan pekerjaan berkualiti bagi memastikan Malaysia terus bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
“Cabaran utama Malaysia hari ini bukan lagi sekadar mewujudkan pekerjaan, tetapi memastikan pekerjaan yang diwujudkan benar-benar sepadan dengan kemahiran, produktiviti dan mampu meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.
Beliau menambah, pelaburan dalam AI, digitalisasi dan sektor bernilai tinggi mesti disokong oleh ekosistem kemahiran yang responsif kepada permintaan industri, termasuk TVET sepanjang hayat dan penggunaan maklumat pasaran buruh secara strategik.
“Laporan Bank Dunia ini mengiktiraf bahawa pembangunan bakat, kesiapsiagaan AI dan penggunaan maklumat pasaran buruh yang tepat memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia mampu membina tenaga kerja yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan ekonomi serta teknologi,” katanya.
Sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13, Kesuma melalui TalentCorp terus memperkukuh ekosistem MyMahir termasuk Future Skills Talent Council (FSTC), penggunaan data Critical Occupations List (MyCOL) serta pelaksanaan AI Readiness Index (AIRI).
Laporan Bank Dunia turut mengiktiraf kepentingan inisiatif seperti MyMahir FSTC, platform MyMahir dan penggunaan maklumat pasaran buruh seperti MyCOL dalam membina ekosistem kemahiran yang lebih responsif dan dipacu permintaan industri.
Dalam kenyataan sama, Kesuma menegaskan jabatan dan agensi di bawah kementerian terus memainkan peranan penting memperkukuh standard perburuhan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, hubungan perusahaan, TVET dan pembangunan bakat teknikal negara.
“Ini termasuk pensijilan, pasaran buruh, penempatan pekerjaan, peningkatan gaji, perlindungan sosial dan sokongan kepada pekerja yang terkesan oleh perubahan teknologi serta ketidaktentuan struktur ekonomi, sekali gus mengurangkan ketidakpadanan kemahiran dan memperkasa rakyat Malaysia untuk pekerjaan berproduktiviti tinggi.
Sejajar dengan semangat Pekerja Madani Kesuma Bangsa, Kesuma komited untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan produktiviti negara diterjemahkan kepada pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih bermakna dan peluang masa depan yang lebih adil untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya. - 14 Mei, 2026
The post Kesuma, KPM perkukuh bakat masa depan, selaras laporan Bank Dunia: Ramanan appeared first on Scoop.


