Kesuma lapor polis: Cubaan campur tangan pihak berkepentingan ganggu semakan TalentCorp

LocalPolitics
22 Oct 2026 • 1:35 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Kesuma lapor polis: Cubaan campur tangan pihak berkepentingan ganggu semakan TalentCorp

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memandang serius dakwaan mengenai pelbagai cubaan campur tangan oleh pihak-pihak berkepentingan yang cuba menggagalkan proses semakan dan pengukuhan tadbir urus di Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

Langkah drastik itu diambil susulan maklumat dan bukti yang mengesan tindakan pihak tertentu menyebarkan maklumat mengelirukan, mempengaruhi warga agensi, serta mengalihkan perhatian daripada isu utama yang sedang diteliti.

Ekoran tindakan melampau itu, beberapa laporan rasmi telah diserahkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan bebas dan tegas dijalankan.

Kesuma dalam kenyataan hari ini menegaskan, kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menggunakan kedudukan, pengaruh, mahupun rangkaian untuk menjejaskan integriti siasatan.

“Kementerian memandang serius dakwaan ini berikutan potensi campur tangan tersebut yang boleh menjejaskan kebebasan proses semakan. Kita menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menentukan fakta dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat asas,” menurut kenyataan itu.

Langkah pembersihan dan semakan semula ini digerakkan selepas pihak pengurusan Kesuma dan TalentCorp mengesan beberapa kelonggaran tadbir urus yang kritikal.

Ini merangkumi isu peruntukan Perlembagaan syarikat, pematuhan dasar dalaman, serta kepincangan mekanisme integriti dan akauntabiliti organisasi.

Siasatan yang sedang dilancarkan turut melibatkan peringkat pekerja hingga ke pengurusan tertinggi TalentCorp, di mana semua pihak diarah memberikan kerjasama penuh tanpa berdolak-dalik.

Meskipun agensi berkenaan kini berada di bawah skop siasatan dan pengukuhan tadbir urus, Kesuma memberi jaminan bahawa operasi harian serta program strategik pembangunan bakat negara di TalentCorp tidak terjejas dan akan berjalan seperti biasa. - 22 Oktober, 2026

The post Kesuma lapor polis: Cubaan campur tangan pihak berkepentingan ganggu semakan TalentCorp appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved