
PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui agensinya, Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) menyasarkan untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja sebanyak 60 peratus sesuai dengan sasaran Rangka Ekonomi MADANI.
Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata sasaran itu bagi memperkukuh strategi bakat yang akan memenuhi keperluan Ekonomi MADANI.
“Kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja masih lagi rendah... (iaitu) sebanyak 56.3 peratus pada suku keempat 2023. Kesaksamaan gender perlu dicapai untuk mencapai kesaksamaan pendapatan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Wanita MyWIRA oleh TalentCorp di sini hari ini.
Beliau berkata inisiatif baharu Wanita MyWIRA itu bertujuan mengurangkan jurang tenaga kerja.
Sim berkata TalentCorp telah diberikan mandat oleh KESUMA untuk memperkasakan tenaga kerja negara termasuk meningkatkan inisiatif yang mengangkat nilai Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Keterangkuman (DEI) bagi membantu mencapai matlamat Kadar Penyertaan Tenaga Kerja Wanita (FLFPR).
“Memandangkan negara kekurangan maklumat dan data bagi guna tenaga dalam kelompok wanita yang telah berhenti kerja dan sebaliknya, adalah penting untuk kita mempunyai data sebenar dan khusus bagi membantu mereka.
“TalentCorp telah dipertanggjawabkan melalui inisiatif Wanita MyWIRA untuk melakukan transformasi pendigitalan Program Kembali Berkerjaya (CCP) yang akan memudah cara insentif percukaian serta mengumpul data sebenar dalam usaha menarik minat dan meningkatkan kedudukan wanita, di samping memperkukuh kerjasama rentas agensi di bawah KESUMA” katanya.
Inisiatif Wanita MyWIRA ini sejajar dengan matlamat kerangka ekonomi MADANI untuk mencapai kesaksamaan gender dan tunjang kepada program yang memperkasakan wanita termasuk insentif cukai melalui program CCP yang dilanjutkan hingga 2027.
Selain itu TalentCorp turut menganjurkan pelbagai program advokasi yang menyokong majikan dalam menerapkan nilai DEI bagi menarik penyertaan wanita dan ibu bapa yang berkerja termasuk ‘Women Industry Network’, Aturan Kerja Fleksibel (FWA) dan sokongan amalan keseimbangan kerja-kehidupan.
Sim berkata TalentCorp akan terus memberi sokongan kepada wanita dan bakat terpendam yang boleh membantu mencapai aspirasi Ekonomi MADANI.
“Di bawah Inisiatif Wanita MyWIRA, kami akan memanfaatkan platform penilaian dan pemprofilan MyNext bagi mewujudkan pangkalan data berpusat untuk Tenaga Kerja Wanita serta inisiatif lain seperti Senarai Pekerjaan Kritikal (MyCOL) dan memperkukuh Kerjasama Industri-Akademia (IAC) untuk menyokong inisiatif wanita seperti yang dimandatkan oleh menteri.
“Kami percaya bahawa dengan pendigitalan data khusus untuk wanita, kami mampu menyediakan maklumat tepat yang dapat memperkasakan inisiatif wanita. Kami juga akan bekerjasama dengan semua agensi rentas kementerian, sektor swasta dan akademia,“ katanya.
Inisiatif tersebut dilancarkan seiring dengan sambutan Hari Wanita Sedunia TalentCorp yang berlangsung 2-9 Mac, melibatkan pelbagai aktiviti yang menarik penyertaan wanita berkemahiran seperti Konvensyen Kerjaya Wanita iaitu karnival kerjaya yang disertai syarikat diketuai wanita serta menawarkan FWA.
Konvensyen yang akan diadakan pada 9 Mac itu turut menawarkan perkhidmatan penulisan resume, bengkel temu duga pekerjaan dan sesi perkongsian berhubung nilai DEI, dengan TalentCorp menyasarkan penyertaan lebih 1,000 peserta dalam kalangan wanita daripada pelbagai latar belakang.
Pada majlis pelancaran tersebut, individu serta organisasi yang komited dalam usaha memajukan wanita mahir turut dirai menerusi penyampaian Anugerah Wanita MyWIRA (Individu) kepada Pengurus Besar SG & MY DELL Technologies Teoh Ean Na, Pengarah Sumber Manusia Advance Energy Industries Masliza Mansor serta Profesor Ekonomi dan Ketua Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya, Pejabat Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Ruzita Mohd Amin.
Anugerah turut diberikan juga kepada organisasi yang komited dalam memajukan wanita mahir iaitu perusahaan sosial penjagaan kanak-kanak Kiddocare dan syarikat multinasional Sarawak Energy Leading Women Network.
Perusahaan sosial Accelerate, syarikat multinasional Flex Malaysia SVP Asia Global Operations, perusahaan sosial Coffee For Good pula adalah penerima anugerah kepada organisasi yang komited dalam usaha memajukan wanita mahir atau golongan rentan. -Bernama
