Ketahui Kisah Pahlawan Iban Robert Rizal Abdullah, Keberanian Yang Diiktiraf Negara

Local
5 Apr 2025 • 8:27 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Robert Rizal Abdullah: Pahlawan Iban Yang Tidak Pernah Lelah Berjuang

Ketahui Kisah Pahlawan Iban Robert Rizal Abdullah, Keberanian Yang Diiktiraf Negara. Dalam sejarah ketenteraan Malaysia, tidak ramai yang begitu berani, berdedikasi, dan terus memperjuangkan warisan perjuangan seperti Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal bin Abdullah.

Anak jati Sarawak ini bukan sekadar seorang tentera biasa, tetapi seorang pahlawan yang menabur bakti dengan penuh keberanian ketika negara menghadapi ancaman komunis.

image is not available
Sumber gambar: FB Borneo Oracle

Bermula Sebagai Pahlawan Muda

Dilahirkan pada 6 Oktober 1948 di Rumah Lachau Ili, Lachau, Sri Aman, Sarawak, beliau dilahirkan dengan nama Robert Madang Anak Langi sebelum memeluk Islam dan dikenali sebagai Robert Rizal bin Abdullah. Beliau memilih untuk berkhidmat dalam angkatan tentera dan telah menempuh perjalanan luar biasa sepanjang karier ketenteraannya.

Keberaniannya di medan perang bukanlah omong kosong. Sepanjang perkhidmatannya sebagai anggota 3 Rejimen Renjer Diraja (RRD), beliau pernah menerima dua anugerah “Pisau Komando”, satu pengiktirafan istimewa bagi anggota tentera yang berjaya menumpaskan musuh dalam pertempuran. Anugerah pertama diterimanya pada tahun 1973 ketika berusia 25 tahun, manakala yang kedua pada tahun 1989.

Misi Mempertahankan Negara

Robert Rizal bukan sahaja berjuang di tanah kelahirannya di Sarawak, tetapi juga menyertai operasi ketenteraan di Semenanjung Malaysia, antaranya Ops Pagar di Ayer Kala, Perak (1976) dan Ops Cahaya Bena II di sempadan Thailand-Malaysia (1977).

Namun, antara pertempuran yang paling dikenang ialah operasi di Nonok, Sarawak (kini Asajaya). Pada Januari 1973, beliau dan unit elit Platun Kilat menyusuri kawasan berpaya selama seminggu bagi menjejaki komunis sebelum melancarkan serangan mengejut. Hasilnya, dua anggota komunis berjaya ditumpaskan, salah seorang daripadanya tumbang di muncung senapang Robert Rizal sendiri.

image is not available

Keberanian di Balai Ringin dan Nonok

Beberapa bulan selepas itu, unit beliau beraksi di Balai Ringin, Serian, menggunakan maklumat risikan bagi menyerang kawasan persembunyian musuh. Serangan ini berjaya menumpaskan Lee Kuen, pemimpin keempat tertinggi dalam Kompeni 3 PARAKU, dengan bantuan tiga bom tangan yang dilontarkan sendiri oleh Robert Rizal.

Namun, pertempuran paling epik berlaku pada 11 Oktober 1973 di Nonok. Unitnya yang hanya berjumlah 15 orang bertempur dengan 54 anggota gerila komunis dari Kompeni Pertama PARAKU yang diketuai Bong Kee Chok. Dengan strategi yang mantap, mereka berjaya menumpaskan tujuh anggota komunis, termasuk tiga yang ditembak sendiri oleh Robert Rizal. Meskipun meraih kejayaan besar, pertempuran ini turut menyaksikan seorang rakannya, Ahmad Adnan, mengalami kecederaan parah.

Atas keberanian luar biasa ini, Robert Rizal dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong pada 27 Disember 1973 ketika baru berusia 25 tahun.

Penghargaan Dan Sumbangan Selepas Bersara

Selain PGB, beliau turut menerima pelbagai anugerah lain, antaranya:

  • Kesatria Angkatan Tentera (KAT)
  • Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB)
  • Pingat Perkhidmatan Am (PPA)
  • Pingat Jasa Malaysia (PJM)
  • Pegawai Bintang Sarawak (PBS)
  • Pegawai Bintang Kenyalang (PBK)

Walaupun telah bersara, beliau tetap meneruskan perjuangan memartabatkan sejarah dan jasa pahlawan negara. Beliau menulis kisah-kisah perjuangannya di blog peribadi serta menghasilkan buku The Iban Trackers and Sarawak Rangers, 1948-1963, My Adventure bagi mengabadikan sejarah pasukan penjejak terbaik dunia ini.

Kini menetap di Taiping, Perak bersama isteri dan dua anak, Robert Rizal tetap dikenang sebagai seorang pejuang sejati. Tabik hormat kepada pahlawan Sarawak ini, Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal bin Abdullah, penerima Pingat Gagah Berani.

View Original Article