
Ketahui Risiko Bawa Masuk Bakso Luar Negara Ke Malaysia
Ramai yang suka membeli bakso sejuk beku ketika bercuti di luar negara untuk dibawa pulang sebagai buah tangan. Lagi-lagi bila ke Indonesia.
Namun, ramai tidak sedar bahawa bakso sebenarnya dikategorikan sebagai produk berasaskan daging. Justeru, ia tidak boleh dibawa masuk ke Malaysia sesuka hati.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia, semua produk daging sama ada mentah, sejuk, sejuk beku atau diproses dari luar negara merupakan barangan import terkawal.
Produk ini perlu mematuhi syarat tertentu. Ini termasuk permit dan pemeriksaan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Mengapa bakso perlu dikawal?
Peraturan tersebut bukan bermaksud semua bakso atau produk daging dari luar negara berbahaya.
Sebaliknya, pihak berkuasa perlu memastikan setiap produk yang dibawa masuk memenuhi piawaian keselamatan sebelum dibenarkan memasuki negara.
Antara maklumat penting yang perlu dikenal pasti ialah jenis daging yang digunakan, negara dan premis asal produk berkenaan, serta status kesihatan haiwan sumber daging.
Selain itu, kaedah pemprosesan serta sama ada rantaian sejuk produk sentiasa dikekalkan sepanjang proses penyimpanan dan penghantaran.
Baca juga:Semua maklumat ini penting bagi mengelakkan penyakit haiwan dari luar negara memasuki Malaysia.
Boleh jejaskan industri ternakan negara
Sesetengah penyakit haiwan tidak berbahaya kepada manusia, tetapi boleh menjangkiti lembu, kambing, ayam dan ternakan lain di negara ini.
Jika penyakit itu merebak, banyak ternakan mungkin terpaksa dimusnahkan untuk mengawal penularan.
Keadaan ini boleh menjejaskan bekalan makanan negara serta menyebabkan kerugian besar kepada penternak dan ekonomi.
Risiko jika rantaian sejuk terputus
Selain itu, bakso yang dibawa pulang dalam bagasi juga mungkin tidak lagi berada pada suhu yang sesuai.
Sepanjang perjalanan dari kedai ke lapangan terbang, menunggu penerbangan, berada di dalam pesawat dan hanya disimpan semula di dalam peti sejuk selepas tiba di rumah, suhu produk boleh berubah.
Apabila rantaian sejuk terputus, bakteria boleh membiak walaupun bakso masih kelihatan elok dan tidak berbau.
Semak syarat sebelum bawa pulang
Public Health Malaysia menegaskan bahawa bakso bukan dilarang kerana jenis makanannya. Sebaliknya, kerana ia merupakan produk berasaskan daging yang tertakluk kepada peraturan import.
Justeru, jangan menganggap produk daging dalam kuantiti yang sedikit pasti dibenarkan.
Sebelum membawanya masuk ke Malaysia, pastikan anda menyemak syarat yang ditetapkan dan mengisytiharkan produk tersebut kepada pegawai bertugas.
Langkah ini penting bagi melindungi bukan sahaja kesihatan orang ramai, malah industri penternakan serta bekalan makanan negara.



