
Ketahui Sebab Moto Kena ‘Pantang’ 1,000Km Pertama
Bila dapat benda baharu, rasa teruja itu memang susah nak disorok. Lagi-lagi kalau kaum Adam yang baru beli kereta atau motosikal idaman.
Kalau boleh nak pandu hari-hari, pusing satu bandar pun tak apa, asalkan dapat rasa kepuasan.
Tapi dalam keterujaan itu, ramai pemilik tak sedar bahawa enjin motosikal baharu sebenarnya perlu dijaga dengan betul pada peringkat awal.
Bercakap soal ini, masih ramai yang tak tahu sama ada motor baharu perlu atau tidak berpantang 1,000 kilometer pertama.
Baru-baru ini, isu ini kembali hangat diperkatakan selepas tular satu video di TikTok yang dikongsikan oleh pasukan di sebalik projek Modenas Z15GT, yang tampil memberi penjelasan.
Persoalannya, perlu ke?
Jawapannya ringkas. Ya, memang sangat disarankan.
Menurut penjelasan yang dikongsikan menerusi akaun TikTok @brader_shawn, enjin motosikal yang baru keluar dari kilang perlu melalui proses ‘pantang’ (running-in) sebelum digunakan secara lasak.
Walaupun motor nampak cantik, berkilat dan sedia untuk ditunggang laju, hakikatnya komponen dalaman enjin masih dalam fasa penyesuaian.
Apa yang berlaku dalam enjin baharu?
Di dalam silinder blok enjin, terdapat permukaan kasar yang sangat halus (dipanggil cross hatch). Permukaan ini ada alur-alur kecil yang berfungsi untuk menyimpan minyak pelincir.
Namun, ketika enjin masih baru, permukaan ini menyebabkan geseran yang tinggi. Akibat geseran tersebut, akan terhasil serpihan halus dan sisa logam hasil proses pembakaran dan pergerakan komponen enjin.
Sisa ini akan jatuh ke dalam enjin dan bercampur dengan minyak hitam. Sebab itulah, selepas 1,000 km, minyak enjin perlu ditukar untuk membuang semua sisa ini.
Ini juga menjelaskan mengapa enjin direka dengan kedudukan oil strainer di bahagian bawah serta oil filter yang mudah dicapai, bagi memudahkan kerja-kerja servis minyak.
Selepas minyak enjin pertama ditukar, barulah enjin dianggap lebih selamat untuk digunakan dengan lebih lasak secara berperingkat.
Boleh ‘lenjan’ tanpa pantang tetapi berisiko
Sebenarnya, tiada larangan rasmi jika pemilik ingin terus menunggang secara agresif tanpa mengikut panduan pantang. Namun, saranan ini dibuat berdasarkan pengalaman serta kajian dan pembangunan (R&D) oleh pihak pengeluar.
Dalam ujian yang dijalankan, enjin akan melalui proses running-in selama 1,000 kilometer terlebih dahulu. Selepas itu, minyak enjin ditukar sebelum enjin diuji dari segi prestasi, termasuk ujian kelajuan maksimum dan ketahanan.
“Untuk makluman juga, kami menggunakan minyak mineral 20W-40 semasa ujian. Tujuannya ialah supaya jika minyak biasa pun boleh menjaga enjin dengan baik, maka jika pengguna memilih minyak yang lebih mahal seperti fully ester atau fully synthetic, ia sudah tentu lebih baik,” jelas mereka.
@brader_shawn Perlu ke tak motor baru berpantang 1,000km pertama? Mai dengar sendiri dari pasukan di sebalik projek Modenas Z15GT… #Modenas #Modenasz15gt #Supermoped
Ringkasnya, tujuan utama proses ‘pantang’ ini adalah untuk membuang segala bendasing dan sisa logam di dalam enjin.
Jika sisa ini dibiarkan, ia berisiko disedut semula oleh oil pump dan dihantar ke bahagian atas enjin. Keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan serius, malah dalam kes tertentu, enjin boleh jem.
Jadi, pantang enjin selama 1,000 kilometer pertama bukanlah satu kewajipan mutlak, namun ia sangat digalakkan.
Ia bagi memastikan ketahanan dan prestasi enjin yang lebih baik dalam jangka panjang. Paling penting, ia juga membantu menjimatkan kos dan mengelakkan masalah besar pada masa hadapan.
BACA: Tablet Berusia 3,200 Tahun Dedah Alasan “MC” Orang Purba
Sumber: TikTok @brader_shawn
The post Ketahui Sebab Moto Kena ‘Pantang’ 1,000Km Pertama appeared first on Siakap Keli.


