
Mungkin ramai yang tidak tahu kewujudan budaya tarian Zapin Sindang
Ketahui Zapin Sindang, Warisan Seni Tarian Tradisional Sarawak. Apabila kita menyebut tentang tarian tradisional Melayu, Zapin seringkali menjadi antara yang paling dikenali. Namun, tahukah anda bahawa di Sarawak, terdapat satu bentuk tarian zapin yang mungkin ramai belum tahu.
Tarian Zapin Sindang, yang berasal dari Kampung Sindang di Kota Samarahan, bukan sekadar satu bentuk hiburan, tetapi ia adalah cerminan adat, dan budaya masyarakat Melayu Sarawak.

Ketahui Zapin Sindang, Warisan Seni Tarian Tradisional Sarawak
Tarian Zapin Sindang merupakan salah satu tarian tradisional yang berasal dari Kampung Sindang, Kota Samarahan, Sarawak. Tarian ini diasaskan oleh seorang penduduk kampung tersebut bernama Encik Nawi bin Hajimi. Pada asalnya, tarian zapin dibawa ke Malaysia oleh pedagang Arab dari Hadramaut, Yaman, sekitar abad ke-19.
Zapin Sindang adalah unik kerana ia menggabungkan gerak langkah yang indah dengan iringan muzik tradisional seperti gambus dan rebana. Persembahan Zapin Sindang ini mempunyai tiga ragam sahaja jika dibandingkan dengan zapin lain dalam Sarawak. Dari segi muziknya, Zapin Sindang lebih kepada mempersembahkan muzik yang popular pada masa tersebut seperti lagu Anak Ayam.
Tarian Zapin Sindang sering dipersembahkan semasa majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan, pertunangan, dan acara khas lain. Menariknya tarian Sindang ini adalah dari segi penonjolan ciri tempatan baik dari segi tarian dan formasi.
Walaupun Zapin Sindang merupakan sebahagian penting daripada warisan budaya Melayu Sarawak, ia menghadapi cabaran dalam pemeliharaannya. Generasi muda yang berpindah ke bandar dan arus pemodenan telah mengurangkan praktik tarian ini di kalangan masyarakat asalnya.
Namun, usaha-usaha oleh organisasi kebudayaan dan Kampung Budaya Sarawak untuk mendokumentasi dan memperkenalkan semula tarian ini sedang giat dijalankan. Paling senang, anda boleh singgah ke Kampung Budaya Sarawak, haa di sana mereka mempersembahkan tarian tradisional Sarawak termasuklah Zapin Sindang.
