Ketegangan Meningkat: Iran Umum Serangan Berterusan Ke Atas Aset AS

WorldPolitics
1 Mar 2026 • 9:48 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

TEHRAN – Iran mengesahkan melancarkan serangan terhadap aset Amerika Syarikat (AS) di beberapa negara Arab Teluk sebagai tindak balas kepada serangan besar-besaran yang didakwa dilakukan oleh AS dan Israel ke atas republik Islam itu.

Kerajaan Iran memaklumkan bahawa sasaran melibatkan beberapa lokasi di Bahrain, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menempatkan pangkalan udara serta kemudahan ketenteraan berkaitan AS.

Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dalam satu kenyataan tegas berkata, semua sasaran tentera Israel dan AS di Asia Barat telah diserang menggunakan peluru berpandu berkuasa tinggi milik Iran.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga musuh kalah sepenuhnya,” menurut kenyataan IRGC.

Mereka turut menegaskan bahawa semua aset AS di rantau itu kini dianggap sebagai sasaran sah ketenteraan Iran.

Iran Pertahan Tindakan

Timbalan Menteri Luar Iran, Hamid Ghanbari ketika ditemu bual oleh Al Jazeera berkata, Tehran berhak mempertahankan diri susulan serangan yang diterima.

Beliau bagaimanapun menyatakan rasa kesal terhadap sebarang kehilangan nyawa yang berlaku akibat peningkatan ketegangan ketenteraan di rantau berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, memaklumkan bahawa surat rasmi telah dihantar kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres.

Menurut beliau, Iran akan terus menggunakan hak mempertahankan diri sehingga serangan terhadap negara itu dihentikan sepenuhnya.

Negara Teluk Tutup Ruang Udara

Susulan serangan tersebut, Qatar, Kuwait, Bahrain dan UAE dilaporkan menutup ruang udara masing-masing sebagai langkah keselamatan segera. Keempat-empat negara itu turut mengecam tindakan Iran yang menyerang wilayah mereka.

Dalam masa sama, kapal-kapal yang berada di Teluk menerima notis berkaitan penutupan Selat Hormuz, laluan strategik utama eksport minyak dunia.

Selat itu menghubungkan negara pengeluar minyak utama seperti Arab Saudi, Iran, Iraq dan UAE ke Teluk Oman serta Lautan Hindi, menjadikannya nadi penting kepada bekalan tenaga global.

Ketegangan Makin Memuncak

Situasi terbaharu ini meningkatkan kebimbangan komuniti antarabangsa terhadap kemungkinan konflik berskala lebih besar di Asia Barat.

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak AS atau Israel mengenai tahap kerosakan atau jumlah korban akibat serangan berkenaan.

Perkembangan lanjut dijangka menyusul dalam tempoh terdekat. – The Malaysian Update

The post Ketegangan Meningkat: Iran Umum Serangan Berterusan Ke Atas Aset AS appeared first on The Malaysian Update.