Ketelusan pengurusan kewangan CMI dipersoal

LocalPolitics
11 May 2026 • 2:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ketelusan pengurusan kewangan CMI dipersoal
Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhammad Fauzi

GEORGE TOWN - Isu ketelusan pengurusan kewangan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) kembali menjadi perhatian apabila akaun syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) itu didakwa masih belum diaudit secara menyeluruh.

Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, selain itu, akaun berkenaan juga dikatakan belum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) meskipun CMI berperanan mengurus hasil serta projek bernilai jutaan ringgit.

Menurutnya, kegagalan membentangkan akaun yang lengkap dan diaudit menimbulkan persoalan besar terhadap ketelusan pengurusan hasil negeri.

“Bagaimana mungkin sebuah entiti yang mengurus hasil negeri bernilai jutaan ringgit boleh beroperasi tanpa ketelusan kewangan yang sewajarnya?

“Ini bukan soal persepsi, ini soal prinsip asas tadbir urus,” katanya ketika membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.

Muhammad Fauzi (Pas-Sungai Dua) berkata, CMI yang mengurus pelbagai projek sepatutnya mempunyai mekanisme pelaporan kewangan yang jelas dan diaudit.

“CMI menguruskan sebanyak 71 projek bagi tahun 2024 dan 2025 serta memperoleh hasil sewaan dan pajakan tanah melalui CMI dan State Secretary Incorporated (SSI) berjumlah RM8.43 juta sehingga 30 September 2025.

“Jika kita lihat data ini, CMI seharusnya mempunyai mekanisme pelaporan kewangan yang jelas dan diaudit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi turut mempersoalkan kelewatan pembentangan penyata kewangan walaupun ia merupakan keperluan di bawah pindaan Enakmen Perbadanan Ketua Menteri yang menetapkan akaun dan rekod perlu disediakan secara teratur serta dibentangkan di DUN setiap tahun kewangan.

Selain itu, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap struktur pengurusan CMI yang disifatkan tidak telus kepada pengetahuan umum, khususnya melibatkan pengurusan tanah kerajaan negeri, pajakan strategik serta kerjasama melalui pelbagai syarikat tujuan khas (SPV).

“Rakyat masih tidak mendapat gambaran jelas tentang keseluruhan syarikat berkaitan di bawah pengurusan CMI, struktur pegangan saham serta hubungan pemilikan sebenar,” katanya.

Beliau menambah, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai pihak yang mengurus aset negeri serta manfaat yang diperoleh daripada projek berkenaan, selain menyukarkan semakan awam terhadap aliran pengurusan kewangan.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai prinsip pentadbiran negeri yang sebelum ini mengangkat slogan Kompeten, Akauntabiliti dan Telus (CAT), namun ia tidak diterjemahkan secara menyeluruh dalam isu berkenaan.

“Jika benar berpegang kepada CAT, maka akaun perlu jelas, diaudit dan dibentangkan. Tanpa itu, ia hanya tinggal slogan,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Fauzi menggesa kerajaan negeri memberikan penjelasan menyeluruh serta memastikan semua akaun berkaitan CMI disediakan, diaudit dan dibentangkan secara terbuka kepada DUN dan rakyat.

View Original Article