
BUKIT MERTAJAM - Sudah tiba masanya rakyat mengetepikan ideologi lama yang cuba memecahbelahkan masyarakat dengan menggunakan isu perkauman dan agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua agama, sama ada Islam, Kristian atau Hindu mengajar nilai-nilai murni dan kasih sayang sesama manusia.
Menurutnya, tiada agama yang menyebarkan kebencian dengan menggunakan agama untuk memecahbelahkan sesebuah masyarakat.
"Kita ini Malaysia, kita anak Malaysia. Melayu, Cina, India, Kadazan dan Dayak, kita bekerja sebagai satu pasukan. Jangan tunduk kepada pemikiran-pemikiran lapuk, mengadu domba, menggunakan isu kaum, agama.
"Agama mana yang ajar kita, menggunakan agama untuk meniupkan kebencian? Semua agama mengajar kita untuk memupuk kasih sayang dan hormat-menghormati. Ini yang harus kita tumpu, kalau tidak, pelajar sekolah, tidak kira tingkatan berapa, mudah terpengaruh dengan fahaman-fahaman ini," ketika berucap di mengadakan kunjungan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Bukit Mertajam di sini pada Jumaat.
Anwar menegaskan, pendidikan berteraskan nilai-nilai murni adalah penting supaya pelajar boleh belajar menghargai nilai hormat, kasih sayang dan keprihatinan antara satu sama lain.
"Siapa tidak sayangkan agama masing-masing? Jika bagi saya, saya mahu Islam dimartabatkan. Saya bangga menjadi seorang anak Melayu, saya cinta kepada bahasa dan budaya tetapi itu tidak bermakna saya perlu menanam pandangan serong kepada bahasa lain.
"Kerana saya tahu, ada kekuatan dan sastera budaya gemilang dalam bahasa lain. Bagaimanapun, ia tidak menghakis keyakinan saya sebagai orang Melayu dan Islam.
"Ini menunjukkan bahawa, budaya Melayu dan Islam menunjukkan ada sikap kemanusiaan, ihsan dan kasih sayang antara satu sama lain," tambah beliau lagi.
