
TAWAU: Keterbukaan Malaysia menjalin kerjasama dengan Amerika Syarikat dalam projek menaiktaraf Lapang Sasar Kota Belud dengan kos RM57.6 juta disifatkan sebagai ‘diplomasi pertahanan’ yang bermanfaat untuk kedaulatan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan kerjasama yang dijalin itu juga tidak menjejaskan prinsip negara untuk kekal berkecuali atau neutral tanpa memihak kepada blok kuasa dunia tertentu.
“Kita sedia menerima bersahabat dengan sesiapa sahaja asalkan mereka ingin berkawan, membantu, menyokong dan mengupayakan ‘kita’ (pertahanan negara) yang memegang prinsip berkecuali,” katanya.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang harapan Kementerian Pertahanan berkaitan kerjasama terbabit pada sidang media sempena majlis perasmian Karnival Civil - Military Cooperation (CIMIC) 2025 di Kompleks Sukan Tawau di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, timbalan-timbalan setiausaha, panglima-panglima dan pegawai-pegawai kanan ATM.
Pada 16 April lepas Daily Express melaporkan rancangan projek menaik-taraf Lapang Sasar Kem Paradise Kota Belud melibatkan kerjasama antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Tentera Darat Amerika Syarikat Pasifik (USARPAC).
Projek fasiliti ketenteraan terbabit dirancang dapat dimulakan pada tahun ini dan siap sebelum pelaksanaan Eksesais Keris Strike 2026 - latihan bilateral tahunan bersama antara TDM dan USARPAC.
Mengulas lanjut Khaled berkata kerjasama berkenaan antara pendekatan yang diambil untuk memastikan kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara sentiasa dijaga terutamanya melalui langkah-langkah pencegahan.
“Dalam usaha sebegini kita menggunakan diplomasi pertahanan dengan negara-negara sahabat termasuklah melalui operasi, latihan eksesais bersama dan penerimaan bantuan ketenteraan.
“Negara-negara seperti Jerman, Jepun, Australia termasuk Amerika Syarikat sudah biasa (mengamalkan bentuk hubungan sebegini) dalam melaksanakan diplomasi pertahanan mereka sendiri termasuklah memberikan perkara-perkara yang kita mahukan,” katanya.
Menurutnya antara bantuan yang diterima daripada negara-negara terbabit meliputi drone, radar dan elemen pertahanan lain termasuklah pembinaan fasiliti ketenteraan di Kem Paradise Kota Belud.
Beliau berkata kerjasama seumpama itu juga dilihat dapat meningkatkan keupayaan dan kemahiran atau kepakaran tentera dalam latihan supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Difahamkan bentuk kerjasama baharu membabitkan penglibatan langsung Amerika Syarikat dalam pembinaan fasiliti ketenteraan negara seperti projek menaik-taraf lapang sasar itu dapat dimanfaatkan untuk kegunaan TDM dalam jangka masa panjang.
Ini sekali gus meluaskan lagi skop hubungan kedua belah pihak yang selama ini diadakan dalam bentuk latihan bersama, sokongan peralatan dan teknologi, bantuan dana, program pendidikan dan latihan ketenteraan, kerjasama anti-keganasan dan keselamatan sempadan, operasi menjaga keamanan dan bantuan kemanusiaan, perkongsian maklumat, forum serantau dan global dan sebagainya.
