Keterbukaan, keyakinan kunci kekuatan Selangor di pentas global - MB

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 12:04 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Keterbukaan, keyakinan kunci kekuatan Selangor di pentas global - MB

SHAH ALAM, 3 OGOS: Selangor perlu terus mengamalkan sikap terbuka terhadap kepelbagaian, kemajuan teknologi dan budaya bagi memastikan negeri itu kekal berdaya saing serta mampu mengukuhkan kedudukannya di pentas global, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata, dalam keadaan dunia berdepan polarisasi, perkauman dan perbezaan ideologi yang semakin ketara, Selangor sebagai sebuah negeri metropolitan perlu memilih pendekatan yang lebih inklusif dan berpandangan jauh.

Image from: Keterbukaan, keyakinan kunci kekuatan Selangor di pentas global - MB
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap dalam majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Selangor sempena Perhimpunan Penjawat Awam di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 3 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Keterbukaan bukan bererti kita mencairkan identiti sehingga hilang jati diri. Kita perlu kekal berpegang kepada prinsip, tetapi pada masa sama memahami latar belakang orang lain, membuka fikiran dan hati serta membina masyarakat yang berkeyakinan.

"Negara akan menjadi lebih kuat jika rakyat berani belajar, berinteraksi dan bersaing di peringkat global," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Selangor di sini hari ini.

Image from: Keterbukaan, keyakinan kunci kekuatan Selangor di pentas global - MB
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan kepimpinan Kerajaan Negeri bersama penjawat awam mengibarkan Jalur Gemilang sempena pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 3 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Amirudin, kekuatan itu turut disokong prestasi ekonomi Selangor yang terus berkembang, sekali gus meletakkan negeri berkenaan di landasan kukuh untuk mencapai nilai ekonomi yang lebih tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Dalam dua hingga tiga tahun akan datang, Selangor berpotensi mencatat sejarah dengan mencapai nilai ekonomi sekitar setengah trilion ringgit.

"Kejayaan ini bukan datang secara kebetulan, tetapi hasil kebersamaan dalam merangka dasar, reformasi penyampaian serta sumbangan penjawat awam, sektor perkhidmatan, pembuatan dan seluruh tenaga kerja yang menjadikan Selangor sebagai nadi ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, Selangor mencatat pertumbuhan ekonomi memberangsangkan pada 2025 apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri mencecah RM460.1 bilion, meningkat RM28 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Amirudin mengingatkan bahawa kemajuan ekonomi perlu diseimbangkan dengan pembinaan nilai, adab dan semangat patriotisme supaya pembangunan yang dicapai lebih mampan.

"Menjelang hampir 70 tahun kemerdekaan, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah kita sudah berpuas hati dengan rekod yang ada atau bersedia melangkah ke pentas yang lebih luas.

"Kemerdekaan dan kebebasan yang kita nikmati hari ini tidak akan kekal selama-lamanya jika kita gagal menjaganya dan tidak bersedia menghadapi cabaran masa depan," katanya.

Image from: Keterbukaan, keyakinan kunci kekuatan Selangor di pentas global - MB
Penjawat Awam mengibarkan Jalur Gemilang ketika majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 3 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, semangat cintakan negara perlu diterjemahkan melalui budaya kerja yang berintegriti, perpaduan dan kesungguhan memajukan negeri serta negara.

Dalam masa sama, Amirudin mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa mengamalkan komunikasi yang jelas dan berkesan kerana mereka berada dalam ruang awam yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved